Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hadir ke Sambutan Hari Pekerja Kebangsaan 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan pekerja tanpa mengira pangkat dan latar belakang pemangkin yang menggerakkan sesebuah negara agar menjadi hebat dan berdaya saing di persada antarabangsa.

Menurutnya, setiap pekerja yang menceburi pelbagai sektor seperti jabatan awam, pembuatan, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan sebagainya memainkan peranan penting.

Sumbangan golongan pekerja adalah penggerak perubahan sekaligus membantu mencatatkan kejayaan sesebuah negara termasuk Malaysia.

“Negara ini masih berdepan pelbagai cabaran. Hari-hari kita dihadapkan dengan isu besar seperti krisis di Palestin dan ketidaktentuan global termasuk tindakan sesuka hati kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

“Namun kita tetap mampu mara jika semua bekerja dengan tekun, ikhlas dan penuh iltizam. Tidak kira sektor mana, pekerja yang berpegang kepada nilai keikhlasan dan kepercayaan kepada negara pasti menyumbang kepada pembentukan negara hebat,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat khas sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Sambutan Hari Pekerja 2025 yang bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ itu turut dihadiri oleh lebih 10,000 golongan pekerja daripada sektor awam dan swasta.

Anwar berkata, golongan pekerja merupakan kumpulan majoriti di negara ini yang bukan sahaja menyumbang kepada kejayaan negara malah menentukan masa depan sendiri.

“Golongan pekerja ini majoriti yang tentukan siapa Perdana Menteri, (gabungan mana) bentuk kerajaan dan dasarnya. Jika pekerja bersatu, merekalah menentukannya, bukan orang lain,” ujarnya.

Katanya lagi, pentadbiran kerajaan pimpinannya bertekad untuk terus mengangkat martabat pekerja di negara ini ke tahap yang lebih baik tanpa mengira latar belakang kaum, warna kulit atau kepercayaan agama.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pekerja agar tidak membiarkan unsur perpecahan yang berpunca daripada perbezaan kaum dan fahaman politik terus menghantui negara ini kerana ia menghalang produktiviti dan perkhidmatan masing-masing.

“Saya dan kerajaan komited untuk membela semua pekerja walaupun majoritinya dalam kalangan orang Melayu, (tetapi) nasib anak-anak Cina, India, Dayak dan Kadazan-Dusun juga tidak boleh dipinggirkan.

“Jangan hanya santuni golongan atasan tetapi wajib (menjaga kebajikan) semua pekerja pelbagai peringkat hingga bawahan.

“Hari-hari kita membaca berita tentang perselisihan antara kaum, ini tidak akan membawa kita ke mana. Kefahaman, perpaduan dan semangat kebersamaan antara kaumlah kunci untuk membawa negara ke arah kemajuan yang lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here