KUALA LUMPUR – Had umur belia perlu dinaikkan kepada 35 tahun selaras dengan keperluan pembangunan belia luar bandar dan sebagai langkah untuk memastikan kelangsungan kepimpinan belia dalam komuniti Felda.
Menurut Setiausaha Agung Majlis Belia Felda Malaysia, Mohammad Syahiran Annuar langkah tersebut akan meningkatkan lagi penglibatan dan penyertaan belia terhadap pertubuhan dan persatuan yang seumpamanya.
Tambahnya, had umur tersebut dilihat sesuai untuk belia bukan hanya di kawasan bandar malah di kawasan seperti Felda.
“Kami percaya bahawa dengan memperluas takrifan belia ini, lebih ramai anak muda Felda dapat terus bergiat aktif dalam membina komuniti yang progresif, berdikari dan berdaya saing, selaras dengan matlamat pembangunan negara dan wawasan Felda,” katanya menerusi kenyataan.
Kenyataannya itu sebagai respon kenyataan terbaharu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini.
Hannah berkata, jumlah penyertaan golongan belia terhadap kelab dan persatuan turun mendadak kepada sejuta sejak kebelakangan ini berbanding 4.5 juta pada tahun 90-an.
Jelasnya, penurunan drastik berkenaan didorong kecenderungan belia zaman sekarang yang tidak lagi berminat menyertai kelab dan persatuan secara fizikal.
Terdahulu, Mohammad Syahiran meluahkan kebimbangannya terhadap penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun seperti yang diumumkan sebelum ini.
Katanya, ia dilihat memberi kesan dasar ini khususnya kepada komuniti belia terutama di rancangan Felda seluruh negara yang mana katanya, realiti kehidupan dan corak pembangunan berbeza berbanding kawasan bandar.
“Ramai anak muda Felda mula terlibat secara aktif dalam persatuan, koperasi dan pembangunan masyarakat selepas usia 30 tahun, apabila mereka telah membina sedikit kestabilan dalam kehidupan dan mula menyumbang semula kepada komuniti.
“Oleh itu, had umur 30 tahun dilihat terlalu rendah dan boleh menyebabkan ramai individu yang masih berperanan penting dalam gerakan belia Felda terkeluar daripada ruang sokongan, penyertaan dan kepimpinan yang sewajarnya.
Dua tahun lalu, Hannah berkata, kerajaan akan mengumumkan perubahan had umur 30 tahun bagi belia di Malaysia yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Had umur belia sekarang ini ialah 40 tahun. – MalaysiaGazette