KUALA LUMPUR – Seorang peguam tampil menjelaskan sebab Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat pempengaruh Aliff Ahmad susulan hantarannya di Facebook berhubung tawaran untuk melakukan semakan latar belakang terhadap Nurul Izzah Anwar, anak kepada Perdana Menteri.
Menurut Muhammad Aidil Akmal Sharidan, meskipun hantaran lelaki itu tiada kaitan dengan isu 3R iaitu raja, agama dan kaum namun ia merupakan satu bentuk ugutan halus apabila menyatakan akan membuat pendedahan jika mendapat 20,000 perkongsian menerusi hantarannya.
Jelas beliau, sepatutnya Aliff membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai bukti yang sahih supaya siasatan telus dapat dilakukan, bukan membuat dakwaan dan provokatf di media sosial.
“Benda ini boleh dianggap macam ugutan halus; “kalau ramai cukup share, aku akan buka aib dia”.
“Bukankah Nurul Izzah itu public figure, patut boleh disoal? Boleh. Tapi kalau nak soal, soal dengan adab. Kalau ada bukti, buat laporan. Tapi kalau kau bawa ke media sosial tanpa bukti, dengan gaya provokatif, itu sudah masuk kategori gangguan atau cuba jatuhkan reputasi.
“Kalau salah, biarlah agensi macam SPRM siasat. Jangan ajak orang ramai share posting supaya tekanan makin tinggi. Itu bukan soal siasat, itu public shaming,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, beliau menambah, MCMC menggunakan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menyiasat pempengaruh itu kerana isu berkenaan melibatkan gangguan dalam internet, aib atau sebarkan benda jelik (yang menyakitkan hati).
“Posting tu boleh jadi ada unsur “mengganggu” atau “jelik” kalau cara dia macam nak burukkan seseorang tanpa asas kukuh.
“Tapi Aliff dah buat akuan sumpah (SD) kata dia bertanggungjawab. Tak cukup ke? Tak cukup. SD cuma pengakuan bukan bukti penuh.
“Pihak berkuasa kena cari bukti lain contohnya mesej, sumber info dan konteks penuh. Macam kes lain juga, tak cukup kau kata “aku buat”, polis tetap kena siasat sebelum dakwa,” jelasnya.
Ujar Aidil, isu tersebut bukan perihal politik sebaliknya melibatkan aspek tanggungjawab dan hak kebebasan bersuara yang tidak boleh disalahgunakan.
Isnin yang lalu, pempengaruh itu dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat MCMC di Cyberjaya. – MalaysiaGazette