KEBANGKITAN pekerja di Barat melalui siri penentangan yang berpanjangan dan demontrasi yang keras terhadap kerajaan serta majikan suatu ketika dahulu menatijahkan kepada hikmah besar yang dirasai oleh golongan pekerja hari ini.
Di Malaysia, sambutan Hari Pekerja juga ada kaitan dengan anjakan paradigma dalam pemikiran pemimpin. Hari Pekerja tidak diiktiraf sehingga 20 Mei 1972 apabila Tun Dr. Ismail mengumumkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan dijadikan sebagai cuti umum di seluruh negara.
Dalam konteks negara kita, pakej kesejahteraan dan kebajikan pekerja sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan bagi memastikan golongan ini sentiasa dibela dan tidak menjadi ‘hamba’ kepada majikan yang tidak bertanggungjawab.
Apabila negara mula berdiri di atas kaki sendiri selepas merdeka, tidak dapat dinafikan peranan pekerja di setiap sektor yang wujud di dalam negara itu amat penting dalam menjadi penggerak utama kemajuan ekonomi dan pembangunan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap di hadapan ribuan pekerja di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan pada tahun lalu menekankan pada peri pentingnya untuk pekerja dihargai dan diraikan sumbangan mereka.
Antara yang disentuh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pengadaptasian terhadap nilai ihsan, kemanusiaan dan karamah insaniah dalam sektor pekerjaan.
“Kita yakin manusia ini sama ada dia tukang cuci atau kerani atau tukang masak, sama pentingnya dari sudut menjana perubahan dan pertumbuhan ekonomi.
“Saudara bayangkan situasi di bilik bedah Hospital Kuala Lumpur, pakarnya ada, kelengkapannya ada, tetapi tukang cucinya mogok. Tidak bisa ada pembedahan berikutnya” ujar beliau.
Contoh mudah yang digunakan oleh Perdana Menteri ini menggambarkan bahawa setiap pekerja mempunyai fungsi kritikal tersendiri walaupun sekadar tukang sapu.
Sekiranya yang berpangkat besar sahaja dipedulikan manakala pekerja ‘rendah’ dikesampingkan, ia sebenarnya mencipta bahana kerana apabila kerja ‘tidak jalan’, ia akan menjejaskan rantaian operasi yang lebih besar dan merugikan pelbagai pihak.
Dek kerana itu, aspek kebajikan pekerja perlu sentiasa menjadi keutamaan oleh setiap majikan.
Di Malaysia, laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa lebih 70% pekerja di negara ini menitikberatkan aspek keseimbangan antara kerja dan kehidupan sebagai faktor utama dalam memilih majikan.
Selain itu, kajian oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan bahawa hanya 30% pekerja Malaysia mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi, menunjukkan bahawa kebajikan pekerja perlu dititikberatkan bagi menjamin kesejahteraan mereka selepas bersara.
Kebajikan pekerja merangkumi pelbagai aspek seperti gaji, faedah kesihatan, suasana kerja yang selamat, keseimbangan antara kerja dan kehidupan, serta peluang peningkatan kerjaya.
Apabila kebajikan dijaga, pekerja akan lebih bermotivasi untuk memberikan kualiti kerja yang terbaik kepada syarikat. Ini akan meningkatkan produktiviti dan mengurangkan peratusan berhenti kerja, sekali gus menjimatkan kos pengambilan dan latihan pekerja baharu.
Tambahan pula, kajian oleh Harvard Business Review mendapati bahawa syarikat yang mengutamakan kebajikan pekerja mengalami kadar pusing ganti pekerja yang lebih rendah iaitu 40% lebih rendah berbanding syarikat lain.
Di peringkat pekerja, mereka juga mempunyai peranan yang perlu dimainkan untuk menjadi sumber manusia yang berkualiti melalui pembangunan modal insan yang holistik, inklusif dan berterusan.
Sebagai pekerja, empat aspek utama iaitu intelektual, rohani, jasmani dan integriti wajib diberi penekanan sebagai input utama yang disuntik masuk untuk menjalar ke setiap urat nadi mereka.
Kekuatan intelektual atau ilmu pengetahuan ini adalah satu proses pembelajaran sepanjang hayat. Oleh itu budaya malas berfikir, memiliki minda yang jumud dan tidak mahu berfikir di luar kotak perlu dibuang jauh kerana itu menyekat daya intelektual pekerja dari berkembang.
Aspek rohani yang berkait rapat dengan iman, adab dan akhlak tidak boleh diabaikan kerana ia adalah ‘isi’ kepada jiwa (qalbu) seorang individu yang diperlihatkan dengan amal perbuatan.
Atas sebab itu para pekerja perlu memilik kerohanian yang mantap untuk mengekang mereka dari melakukan perbuatan yang bercanggahan dengan etika, moral, peraturan mahupun undang-undang.
Bagi memastikan setiap tugas dapat dilaksanakan dengan baik, amat penting aspek jasmani juga dititik beratkan. Penjagaan kesihatan melalui aktiviti bersenam, riadah, bersukan, mengamalkan pemakanan seimbang dan meninggalkan tabiat memudaratkan tubuh badan akan menjadikan individu berkenaan seorang pekerja yang produktif dan efektif sepanjang masa.
Integriti adalah nilai unggul yang perlu wujud pada individu dan organisasi, Integriti yang membalut teguh diri seorang pekerja akan memandunya melaksanakan tugas mengikut bidang kuasanya, cekap, akauntibiliti, telus serta mematuhi tatacara dan tatakelola yang telah sedia ada.
Kesimpulannya di sebalik 1 Mei dan cuti umum, hari ini hakikatnya adalah sebuah platform utama untuk kerajaan, kesatuan sekerja, dan majikan mengingatkan tentang hak pekerja Malaysia, keseimbangan hidup dan kerja serta keadilan sosial kerana ‘Pekerja Kesuma Bangsa’.
Mohd Zaini Othman
Penulis merupakan Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.