Steven Sim

KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran pada Februari 2025 mencatatkan penurunan kepada 3.1 peratus sekaligus menjadikan ia kadar terendah dalam tempoh 10 tahun.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang meberitahu, jumlah individu yang bekerja meningkat daripada 16.91 juta hujung tahun 2023 kepada 17.34 juta pada hujung tahun 2024.

“Kerajaan Madani telah menaikkan faedah keselamatan sosial PERKESO kepada pekerja sebanyak 20 peratus menguatkuasakan lebih 100 penambahbaikan.

“Ini bagi memastikan tempat kerja selamat, memperkasakan kuasa runding pekerja untuk mendapatkan gaji yang lebih bermaruah dan meningkatkan pampasan gaji pekerja dengan kenaikan gaji minimum serta pelaksanaan dasar gaji progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja 2025 Peringkat Kebangsaan di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini.

Sambutan Hari Pekerja 2025 itu dihadiri kira-kira 10,000 orang termasuk kakitangan sektor awam dan swasta.

Steven Sim memaklumkan, kadar penyertaan tenaga buruh turut meningkat kepada 70.6 peratus.

Dalam pada itu, beliau berkata, kadar penyertaan tenaga buruh wanita meningkat kepada 56.8 peratus manakala kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran menurun daripada 37.4 peratus pada 2023 kepada 36 peratus.

“Kadar kebolehpasaran graduan TVET kita meningkat kepada 94 peratus. Syabas saya ucapkan kepada sektor TVET,” katanya.

Tambah beliau, pencarum bagi PERKESO turut meningkat kepada 9.9 juta untuk sektor formal yang mana lebih ramai pekerja kini dilindungi di bawah skim keselamatan sosial kerajaan.

“Jumlah pencarum PERKESO untuk mereka yang bekerja sendiri juga meningkat kepada 900 ribu orang berbanding 700, 000 orang pada 2023.

“Pencarum untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah meningkat kepada lebih 500 ribu orang berbanding hanya 200 ribu orang pada 2023,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here