MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyindir ADUN Rembia
Datuk Muhammad Jailani Khamis kerana ‘cakap tak serupa bikin’ apabila menuduh kerajaan tidak mengamalkan demokrasi ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang berakhir semalam.
Menurutnya, sidang DUN adalah tempat utama wakil rakyat untuk membawa suara rakyat melalui soalan jawab lisan mahu pun soalan jawab bertulis yang perlu dikemukakan ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan.
“Masakan YB Jailani menyatakan demokrasi sudah mati untuk bawa suara rakyat tetapi bagi sidang DUN yang baru lepas, beliau langsung tidak mengemukakan soalan baik lisan mahu pun bertulis.
“Tiada langsung soalan yang dikemukakan kepada dewan dari YB Rembia pada sidang kali ini. Kosong!,” tegasnya dalam kenyataan kepada hari ini.
Menurut Dr Akmal, ketika wakil rakyat kawasan lain menghantar soalan untuk membawa suara rakyat di kawasan masing-masing wakil rakyat pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) itu langsung tidak menghantar soalan dan menikmati gaji sebagai wakil rakyat.
“Nak bawa suara rakyat macam mana, jika tempat yang sebenar suara rakyat dibawa tetapi wakil rakyat langsung tidak mengemukakan sebarang soalan malah keluar dewan pula dan langsung tidak berbahas ketika diberikan peluang.
“Soalan tidak hantar, bila nak bahas lari keluar. Saya kongsikan jumlah soalan lisan dan bertulis yang dibawa oleh YB pembangkang bagi sidang DUN yang baru sahaja habis selasa lepas.
“YB Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (bertulis 15, lisan 1), YB Sungai udang Dr. Mohd. Aleef Yusof (bertulis 15, lisan 10, YB Rembia (bertulis 0, lisan 0),” katanya lagi.
Malah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri itu memuji ADUN PN, Dr Mohd Aleef apabila membawa banyak soalan setiap kali DUN bersidang.
“Yang mematikan demokrasi ini adalah wakil rakyat yang menikmati gaji wakil rakyat tetapi langsung tidak membawa suara rakyat!!.
“Pandai-pandailah rakyat menilai ya,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette