Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof ketika hadir ke Sambutan Hari Pekerja Kebangsaan 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig pada sidang Parlimen akan datang bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi kira-kira 2.2 juta pekerja dalam sektor tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih terdapat kekurangan terhadap beberapa aspek yang memerlukan pembaikan khususnya dalam menjaga kebajikan kumpulan pekerja dalam sektor tersebut.

“Insya-Allah, kekurangan seperti yang dihadapi pekerja gig akan kita selesaikan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang akan kita bentangkan dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil hari ini.

Berdasarkan statistik Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sektor ekonomi gig terus berkembang pesat dengan jumlah pekerjanya mencecah 2.2 juta setakat tahun 2023.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dalam ucapannya berkata, di bawah pimpinan Perdana Menteri, kerajaan akhirnya sudah menyiapkan draf RUU Pekerja Gig yang disifatkan sebagai bersejarah.

Katanya, draf itu adalah hasil kajian, konsultasi, sesi libat urus, menerima input atas talian, mengadakan town hall mega serta membuat rujukan membabitkan 3,000 pemegang taruh.

“Kerajaan mendengar keluhan anda. Sudah bertahun-tahun diberi janji manis. Kerajaan bersilih ganti, hasrat pekerja gig untuk mendapat perlindungan perburuhan masih belum dicapai.

“Justeru saya ingin menyeru kepada semua pihak, jangan menghalang kerajaan membela nasib pekerja gig.

“Berilah sokongan kepada kerajaan untuk membentangkan RUU Pekerja Gig di sidang Parlimen yang akan datang demi membela nasib pekerja gig kita,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here