JOHOR BAHRU – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencadangkan supaya Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diwujudkan sebagai satu entiti sahaja dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan golongan berkenaan.
Menurutnya, apabila persatuan veteran tentera sedia ada digabungkan, ia akan membuatkan suara mereka lebih kuat sekaligus dapat memperkasa perjuangan dan menyusun semula aktiviti dengan lebih berkesan.
“Langkah ini bukan bertujuan menyekat kewujudan persatuan sedia ada tetapi untuk memastikan suara dan isu dibangkitkan veteran dapat diperjuangkan secara kolektif dan dihormati.
“Setiap persatuan ada pandangan masing-masing. Jadi, bila tidak ada penyelarasan, perjuangan itu tidak berkesan dan mungkin tidak dihormati.
“Tujuannya bukan untuk menyekat, tetapi supaya gerakan ini lebih tersusun dan berkesan,” katanya ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Persatuan Veteran ATM (PVATM) kali ke-56 di Tiram di sini hari ini.
Kata Mohamed Khaled, pada masa ini, terdapat 122 persatuan veteran berdaftar bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan kementerian tidak menghalang penubuhan persatuan baharu selagi memenuhi syarat ditetapkan.
Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut mengumumkan peruntukan RM40,000 bagi kerja-kerja mengecat dan menaik taraf Pejabat PVATM di Johor Bahru. – MalaysiaGazette