SHAH ALAM – Sempena sambutan Hari Pekerja 2025, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad merakamkan penghargaan tertinggi kepada para pekerja yang disifatkan sebagai nadi kemajuan dan nyawa kepada pembangunan negeri itu serta negara.
Kata Saifuddin, bumi Selangor terus kekal tanah ‘subur’ bagi semua golongan pekerja dari industri berat hingga ke sektor kreatif daripada penjawat awam hingga ke pekerja gig.
“Setiap titik peluh, semangat dan kecekalan para pekerja sama ada di tapak binaan, ladang, kilang, pejabat atau di ruang digital adalah denyut sebenar pembangunan di negeri ini sekaligus seluruh negara yang dicintai ini.
“Mereka adalah wira di sebalik tirai kemajuan yang jarang disebut tetapi sentiasa dirasai kesannya.
“Kemajuan negeri dan negara hanya akan terus kukuh jika para pekerjanya diberi ruang untuk berkembang, menyuarakan pandangan dan menikmati hasil kemakmuran secara adil,” katanya hari ini.
Sambung Saifuddin yang juga pernah menyandang jawatan Setiausaha Biro Pekerja Parti Keadilan Rakyat (PKR), dirinya pernah menyaksikan sendiri perjuangan akar umbi golongan pekerja yang tidak pernah luntur walau dilanda badai ekonomi atau perubahan zaman.
“Dengan semangat yang tidak pernah goyah dan maruah yang sentiasa dijunjung, para pekerja inilah yang saya sifatkan sebagai Kesuma iaitu ‘Keramat Suci Maruah Bangsa’, tanpa mereka, tiada kemajuan yang benar-benar mampan,” katanya lagi.
Beliau juga menyeru semua pihak termasuk majikan dan kerajaan untuk terus memperkukuh budaya kerja yang sihat, berteraskan keseimbangan, keadilan dan keprihatinan sejati terhadap kebajikan pekerja.
“Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga kerja Selangor. Kalian bukan sekadar tenaga buruh, tetapi pencipta harapan, pembina tamadun. Majulah pekerja, majulah bangsa,” ujarnya. -MalaysiaGazette