Kapten Bas Rapid KL, Mohd Said menunjukan versi baharu aplikasi MyRapid Pulse yang tersedia untuk dimuat turun oleh pengguna bermula 1 Mei 2025.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan aplikasi perancang perjalanan MyRapid Pulse yang bakal memberi manfaat kepada pengguna pengangkutan awam kendaliannya.

Aplikasi baharu ini akan menggantikan versi terdahulu yang ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Mei 2025.

Prasarana menerusi kenyataan berkata, versi baharu itu merupakan langkah berterusan pihaknya dalam usaha meningkat pengalaman perjalanan harian pengguna rel dan bas.

“Selain memberi manfaat kepada penumpang harian, pengenalan aplikasi ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pemangkin utama dalam memperkasa sektor pelancongan negara, dengan memudahkan pelancong, terutamanya dari luar negara merancang perjalanan mereka dengan lebih lancer,” katanya.

Menurut Prasarana, antara ciri utama dalam aplikasi ini termasuk fungsi navigasi perancang perjalanan yang lebih mudah dan mesra pengguna, serta pengenalan ciri Explore City atau Jelajah
Bandar yang membantu pengguna mengenal pasti lokasi-lokasi menarik di sekitar Lembah Klang berdasarkan kategori seperti mercu tanda pelancongan dan sebagainya.

Katanya lagi, aplikasi berkenaan turut memperkenalkan ciri Rewards & Promotions atau Ganjaran & Promosi yang memberikan lebih nilai tambahan kepada pengguna berdaftar.

“MyRapid Pulse bukan sekadar aplikasi perancang perjalanan malah ia direka sebagai pelengkap gaya hidup moden yang menitikberatkan kesalinghubungan, penerokaan, ganjaran gaya hidup serta kemudahan harian khusus untuk pengguna pengangkutan awam sama ada untuk tujuan ulang-alik harian mahu pun pengembaraan menjelajah bandar.

“Selaras dengan slogan Prasarana iaitu ‘Memajukan Mobiliti, Memperkaya Pengalaman’, aplikasi ini diharap dapat membantu semua pengguna khususnya pelancong dan pengguna kali pertama untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih efisien dari satu lokasi ke lokasi yang lain,” tambahnya.

Justeru, Prasarana menggalakkan semua pengguna untuk memuat turun aplikasi MyRapid Pulse versi baharu di Google Play Store dan Apple App Store.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here