KUALA LUMPUR – Desas-desus mengenai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa mengambil cuti panjang telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan akar umbi parti terutamanya ketika proses Pemilihan Keadilan 2025 sedang berlangsung di seluruh negara sekarang.
Difahamkan, Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan mengenai perkara itu dalam mesyuarat Kabinet semalam namun tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut.
Menurut sumber dalaman parti, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi telah mengambil cuti sehingga 31 Mei ini, dipercayai ada kaitan dengan rasa tidak puas hati terhadap perjalanan pemilihan parti yang sedang dijalankan.
“Ya, benar beliau bercuti sehingga hujung bulan ini. Ada desas-desus menyatakan beliau mungkin tidak akan mempertahankan jawatan timbalan presiden kali ini. Malah ada kemungkinan keseluruhan pasukan beliau juga tidak akan bertanding,” dakwa sumber berkenaan kepada MalaysiaGazette.
Tambah sumber itu, setakat ini, situasi sebenar hanya diketahui oleh Presiden PKR sahaja.
“Apa yang sedang berlaku hanya presiden parti yang tahu. Pada saat genting seperti ini, sepatutnya Timbalan Presiden PKR memainkan peranan aktif, bukan ambil cuti.
“Jika ada isu, gunakan peluang ini untuk tunjukkan kepimpinan, bukan berundur buat sementara,” tambahnya.
Seorang lagi sumber akar umbi pula melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Rafizi yang mengambil cuti secara tiba-tiba itu dan menyifatkan ia satu langkah yang tidak sepadan dengan usaha Perdana Menteri untuk memperkukuhkan ekonomi negara.
Difahamkan juga, beberapa pemimpin lain turut mengambil tindakan yang sama selepas keputusan pemilihan peringkat cabang tidak memihak kepada mereka.
Terdahulu, Anwar telah mengumumkan pelantikan juruaudit bebas bagi menyiasat segala aduan berkaitan ketidakteraturan proses pemilihan.
Namun pada masa sama, beliau juga menegaskan, secara keseluruhannya pemilihan parti berjalan secara telus dan teratur.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan pengundian semula akan diadakan hari ini bagi empat cabang – Jempol, Selayang, Silam dan Semporna. -MalaysiaGazette
Alang2 menyeluk pekasam, ada yang saran raja formula songsang ni bertanding jawatan presiden PKR! Untung sabut timbul, kalau tak bernasib baik terus tenggelam?