Serbuan di sebuah rumah dan barang rampasan sindiket pelaburan tidak wujud kumpulan ‘Ah Kit’ oleh JSJK Negeri Sembilan. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan pelaburan dalam talian membabitkan kumpulan Ah Kit ditumpaskan dalam serbuan di sekitar Taman Bukit Kepayang, Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad lalu.

Dalam serbuan itu, seramai sembilan individu warga tempatan terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 35 tahun telah ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kesemua suspek telah direman empat hari sehingga hari ini bagi siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan.

“Siasatah mendapati sindiket ini beroperasi sejak awal Januari lalu menggunakan sebuah rumah sewa sebagai pusat panggilan bagi menjalankan aktiviti pelaburan tidak wujud melalui hebahan di aplikasi Tantan, Tinder, Telegram dan Facebook dengan menyasarkan rakyat negara jiran sebagai mangsa.

“Malah mereka menawarkan gaji sebanyak RM3,000 kepada pekerja pusat panggilan dan menjadikan kawasan perumahan berpagar sebagai hostel serta pejabat operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara barang rampasan sindiket pelaburan tidak wujud kumpulan ‘Ah Kit’ oleh JSJK Negeri Sembilan. Foto PDRM

Tambah Ahmad Dzaffir, dalam serbuan itu juga pihaknya telah merampas sebanyak 33 unit telefon bimbit, sembilan komputer riba, tujuh kereta dan 14 buku nota skrip yang digunakan untuk sindiket ini.

Katanya, tugasan ahli sindiket ini adalah mendapatkan mangsa untuk melabur dalam skim pelaburan yang kononnya wujud menggunakan nama-nama syarikat terkenal dalam pasaran.

“Mereka menawarkan jumlah keuntungan yang tinggi bagi menarik perhatian mangsa dan setelah pelaburan dibuat, pelbagai alasan diberikan bagi mengelak bayaran keuntungan sehingga akhirnya mangsa tidak dapat menghubungi pihak sindiket.

“Walaupun sindiket ini tidak melibatkan rakyat di negara ini, orang ramai diingatkan agar tidak mudah terperdaya dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan tanpa perlu berusaha bersusah payah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here