Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

KUALA LUMPUR – Semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kini secara kolektif telah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar kepada semua pekerja tetap warga Malaysia.

Langkah tersebut melibatkan syarikat utama seperti Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, menerusi pelaksanaan itu, semua pekerja tetap tempatan kini memperoleh gaji melebihi penanda aras gaji kehidupan wajar bulanan selaras dengan komitmen di bawah inisiatif Gaji Kehidupan Wajar yang diterajui Kementerian Kewangan.

“Melaksanakan visi Ekonomi Madani memerlukan pendekatan seluruh negara dengan sektor korporat memainkan peranan utama.

“Langkah kolektif GLIC untuk melaksanakan gaji kehidupan wajar adalah langkah penting untuk ‘menaikkan lantai’ bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif dan berakar umbi dalam kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Amir Hamzah berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada pelaksanaan program Gear-Up di bawah kerangka Ekonomi Madani, yang menekankan dua objektif utama iaitu ‘menaikkan siling’ dan ‘menaikkan lantai’ dalam pembangunan ekonomi negara.

Menurut Kementerian Kewangan, penanda aras gaji kehidupan wajar telah ditetapkan pada sekitar RM3,100 sebulan berdasarkan analisis kos sara hidup dan perbandingan penggajian industri yang digariskan dalam Panduan Belanjawanku 2024/2025.

Jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding gaji minimum RM1,700 yang diumumkan menerusi Belanjawan 2025 dan mula berkuat kuasa pada 1 Februari 2025.

Panduan Belanjawanku, yang dibangunkan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya menyenaraikan anggaran perbelanjaan minimum bulanan bagi memastikan taraf hidup yang bermaruah untuk rakyat Malaysia.

Pendekatan gaji kehidupan wajar turut memberi penekanan kepada elemen pampasan yang lebih menyeluruh, merangkumi manfaat seperti penjagaan kesihatan, pelan persaraan serta mekanisme simpanan yang dapat meningkatkan kualiti hidup pekerja secara menyeluruh. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here