Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiring Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong melakukan gimik perasmian Kad Pekerja MADANI dan Aplikasi Telefon Pintar MyFutureJobs pada Sambutan Hari Pekerja Kebangsaan 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya dalam sejarah upah penengah bulanan rakyat sudah melepasi nilai ambang RM3,000  meningkat daripada RM2,700 kepada RM3,045 sebulan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang memberitahu, Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig diusahakan kerana kerajaan mendengar keluhan kelompok pekerja itu yang sudah bertahun-tahun diberi janji-janji manis.

“Kerajaan mendengar keluhan anda yang sudah bertahun-tahun diberi janji manis. Kerajaan bersilih ganti, hasrat pekerja gig untuk mendapat perlindungan perburuhan masih belum dicapai.

“Namun di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar, kerajaan akhirnya sudah menyiapkan draf RUU Pekerja Gig yang bersejarah.

“KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) telah membuat kajian, konsultasi, sesi libat urus, menerima input dalam talian, mengadakan town hall mega dan sudah 3,000 pemegang taruh dirujuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Pekerja 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini hari ini.

Majlis sambutan itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Steven menegaskan, KESUMA tidak akan berkompromi dalam usaha mendukung hak pekerja.

“Kami akan go all out untuk melindungi pekerja kita. Apa pun yang terjadi, kami akan melindungi pekerja kami walau pun apapun berlaku. (Come what may, we will protect our workers at all cost).

“KESUMA berpegang kepada prinsip ekuiti yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Perusahaan Malaysia waima di kala pandemik melanda, kegawatan ekonomi dan iklim perniagaan tidak harus dijadikan alasan untuk menindas pekerja,” ujarnya.

Pada Mac lalu, Chee Keong mendedahkan liputan perlindungan sosial dalam kalangan pekerja gig disifatkan masih rendah apabila sekadar mencatatkan 26 peratus berbanding 1.16 juta individu yang bekerja dalam sektor berkenaan di seluruh negara.

Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) dalam kenyataan sebelum ini turut memohon kerajaan supaya melaksanakan penyelesaian jangka panjang dalam usaha memastikan isu kebajikan, tugasan dan kesihatan mental pemandu e-hailing serta p-hailing ini diatasi segera.

GEM juga mendedahkan, ketika ini punca pendapatan tidak tetap yang bergantung kepada jumlah perjalanan dan penghantaran menjadikan pemandu e-hailing serta p-hailing terpaksa bekerja berjam-jam lamanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here