Aminolhuda Hassan

JOHOR BAHRU – Kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa parti itu terbuka bekerjasama dengan UMNO boleh disifatkan seolah-olah parti itu sudah hilang kepercayaan terhadap Pas.

Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, langkah tersebut sudah diduga selepas Bersatu bimbang dengan Pas dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Amanah Johor melihat kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan krisis ketidakpercayaan rakan strategik dalam membawa agenda Bersatu dalam gabungan PN.

“Kami sebenarnya telah menduga perkara ini akan berlaku kerana seperti yang sedia maklum, Pas sebelum ini dilihat acap kali menikam belakang rakannya dengan mengeluarkan pelbagai hukum selepas mereka tidak lagi bersama parti lain.

“Sebelum ini Pas dilihat mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Parti Keadilan Rakyat (PKR- Pakatan Rakyat), Tan Seri Lim Kit Siang (DAP – Pakatan Rakyat), UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

“Terkini (Pas mesra bersama-sama) Bersatu dan perkara terbaru ini (kebimbangan Bersatu) telah dapat diduga sekali lagi Pas sedang mengkhianati rakannya,” katanya dalam kenyataan.

Aminolhuda mendakwa, Amanah Johor melihat agenda Pas bawah pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang selama ini demi mengambil kesempatan atas pengaruh seseorang untuk mendapatkan kuasa dan kepentingan peribadi mereka sahaja.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor mendakwa, perkembangan itu sedikit sebanyak telah membuka mata ramai pihak yang berkenaan.

Ahli Parlimen Sri Gading itu mendakwa matlamat asal perjuangan Pas dalam membawa agenda rakyat sudah tidak ada lagi.

Pas kini dilihat lebih kepada sebuah parti yang terlalu mahukan kuasa semata-mata, katanya.

Menerusi podcast yang dihoskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang disiarkan di YouTube baru-baru ini, Hamzah berkata, Bersatu dan UMNO berkongsi asas ideologi yang sama dan disebabkan itu, parti terbabit bersedia menjalinkan bekerjasama bagi mencapai misi yang sama.

Hamzah berkata, ia kerana Bersatu mempunyai ideologi yang sama dengan UMNO yang ditubuhkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Setiausaha Vereran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub hari ini menyifatkan kenyataan Hamzah itu sebagai bukti kebimbangan Bersatu terhadap nasib mereka dalam PN.

“Bersatu tahu Pas telah berusaha untuk meyakinkan Anwar supaya mereka diterima dalam kerajaan. Bukan sekali tapi sudah berkali-kali Pas menghantar ‘wakil-wakil’ mereka berjumpa Anwar untuk tujuan itu.

“Bersatu menyedari itu dan terasa mereka akan ‘dikencing’ Pas. Maka sebagai jalan keluar dan demi kelangsungan parti, mereka menawarkan untuk berkerjasama dengan UMNO atas alasan dasar perjuangan UMNO dan Bersatu adalah sama,” ujar Mustapha.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here