MELAKA – Anak kambing baka Black Belly yang dilahirkan berkepala dua di Bukit Kechil, Pernu, kelmarin, sudah mati petang semalam.
Pemiliknya, Abu Shah Hashim, 57, berkata, haiwan itu mati kira-kira pukul 2 petang semalam selepas semakin lemah walaupun usaha menyelamatkannya termasuk memberi susu secara manual sudah dilakukan.

Abu Shah menunjukkan anak kambing baka Black Belly yang dilahirkan berkepala dua di Bukit Kechil, Pernu, kelmarin, sudah mati petang semalam.
“Sebenarnya, sejak semalam lagi saya dah jangka hayatnya tak lama kerana keadaannya yang lemah malah doktor veterinar juga berpandanganan kemungkinan besar ia akan mati.
“Tapi saya tetap cuba juga berikannya susu walaupun ia cuma minum sedikit sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang penternak terkejut apabila ternakannya itu melahirkan anak kambing berkepala dua, Rabu lalu.
Sebelum ini kambing betina baka Black Belly berusia dua tahun lebih itu pernah melahirkan dua ekor anak namun keadaan fizikal yang normal dan sihat. – MalaysiaGazette