KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa membatalkan cuti Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kerana pentadbiran negara memerlukan semua anggota Kabinet untuk menjalankan tugas masing-masing.
Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata ketiadaan Rafizi untuk tempoh yang lama merupakan langkah tidak bertanggungjawab bukan hanya kepada negara malah rakyat.
Apatah lagi katanya, dunia sedang berdepan perang perdagangan akibat pengumuman kenaikan tarif import ke Amerika Syarikat yang dilihat akan turut menjejaskan Malaysia secara tidak langsung.
“Malaysia sedang menghadapi peperangan dagang akibat pengumuman kenaikan tarif import ke Amerika Syarikat sebanyak 24 peratus.
“Rakyat Malaysia tentunya berharap agar Menteri yang memegang portfolio berkaitan Pelaburan, Ekonomi, Industri untuk mengerahkan seluruh usaha dan komitmen untuk memastikan Ekonomi dan Industri Malaysia tetap kukuh dan mampu mengawal kemunduran.
“Dengan ketiadaan Menteri Ekonomi selama satu bulan yang kritikal dimana banyak perkara polisi yang akan diputuskan oleh Kerajaan, Armada berpendapat bahawa ini adalah satu langkah yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan nasib rakyat,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan, Rafizi merangkap Timbalan Presiden PKR didakwa mengambil cuti panjang.
Sumber dalaman parti itu dipetik sebagai berkata, perkembangan terkini itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan akar umbi parti terutamanya ketika proses Pemilihan Keadilan 2025 sedang berlangsung di seluruh negara sekarang.
Difahamkan, Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan mengenai perkara itu dalam mesyuarat Kabinet semalam namun tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut.
Sumber itu turut mendakwa, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi telah mengambil cuti sehingga 31 Mei ini, dipercayai ada kaitan dengan rasa tidak puas hati terhadap perjalanan pemilihan parti yang sedang dijalankan.
Mengulas lanjut Harris memberi amaran kepada semua anggota Kabinet supaya tidak mencampuradukkan isu dalaman parti dengan perihal pentadbiran negara.
“Rakyat tidak bersalah dalam keraguan keputusan pemilihan PKR, maka jangan menghukum rakyat dengan menunjukan tanda protes,” katanya lagi.-MalaysiaGazette