Tangkap layar yang tular dari video dikongsikan mangsa mengenai pengalaman mistik yang dilaluinya.

ALOR GAJAH – Perjalanan sepasang suami isteri ke rumah pelanggannya untuk memberikan perkhidmatan berinai bertukar menjadi pengalaman mistik sehingga tular di media sosial.

Ia selepas kenderaan dipandu ‘dibawa’ ke jalan mati sebelum terbenam dan terkandas di dalam selut di Kampung Ulu Pegoh berhampiran A ‘Famosa Resort di sini pada Rabu lalu.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba, Tc Zulkhairani Ramli berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam apabila menerima panggilan kecemasan daripada pasangan itu berusia 29 dan 30 tahun.

Zulkhairani Ramli

Menurutnya, pasukan  operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Muhammad Nur Fawzal Samsunahar bersama tiga anggota menaiki pacuan empat roda bergegas ke lokasi yang diberikan mangsa.

“Pasukan kemudian menemui sebuah kereta Perodua Kelisa dinaiki pasangan itu yang terbenam di dalam selut sedalam 15 sentimeter di penghujung jalan Kampung Ulu Pegoh berhampiran A’ Famosa Resort.

“Mangsa mendakwa mereka dibawa ke situ berdasarkan petunjuk Google Maps ke A ‘Famosa Resort menggunakan laluan Kampung Pegoh dan ketika ditemui pasangan itu dalam keadaan panik dan ketakutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan bomba menemui kereta Perodua Kelisa dinaiki pasangan itu yang terbenam di dalam selut sedalam 15 sentimeter di penghujung jalan Kampung Ulu Pegoh berhampiran A’ Famosa Resort.

 

Menurutnya, suami dan isterinya berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius sebelum pasukan bomba memulakan kerja-kerja menarik kereta tersebut menggunakan kaedah winching.

“Setelah berjaya menarik kereta tersebut ke permukaan yang lebih rata, pasukan bomba mengiringi mereka keluar ke jalan utama dan mereka terus ke A ‘Famosa Resort,” katanya.

Kejadian itu, turut tular menerusi aplikasi TikTok apabila mangsa menceritakan pengalaman itu yang disifatkannya mistik seolah-olah ‘dibawa’ oleh mahkluk lain ke kawasan sunyi dan seram itu.

Menerusi lebih 2,000 komen, orang ramai turut memaklumkan laluan itu sebagai ‘keras’ dan penduduk di sekitar tidak akan menggunakan laluan itu yang sebenarnya sudah dipagar.

Mengulas perkara itu, Zulkhairani berkata, tugasan bomba tidak mengira jenis kes sama ada wujud unsur mistik atau tidak sebaliknya kecekapan anggota menjadi titik tolak dalam menyelesaikan setiap masalah orang awam.

“JBPM sentiasa sentiasa percaya tuhan akan sentiasa melindungi orang-orang yang ikhlas dalam membantu orang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here