MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dikhuatiri lumpuh seumur hidup selepas terjatuh dan terhantuk di bucu meja makan ketika sedang bermain di rumahnya di Paya Rumput baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam 11 Mac lalu, mangsa ketika itu baru selesai berbuka puasa bersama keluarganya sebelum bermain bersama adik beradiknya yang lain.
Menurut sumber, ketika sedang berlari di tepi meja makan, tiba-tiba kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu terjatuh dan mengalami bengkak di kepala.
“Mangsa yang dalam kesakitan kemudian mengalami muntah-muntah sebelum ibu bapanya berusia 30-an membawanya ke Hospital Melaka.
“Kanak-kanak berkenaan bagaimanapun terpaksa dikejarkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami pendarahan dalam otak,” katanya.

Tambahnya, doktor memaklumkan mangsa dikhuatiri lumpuh seumur hidup akibat kecederaan serius yang dialaminya.
“Sehari sebelum kejadian, mangsa dikatakan mengalami kecederaan di dagu selepas terjatuh di dalam kelas Tahun 1.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dialami kecuali menerima rawatan akibat luka sebelum dibenarkan pulang,” katanya. – MalaysiaGazette