Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN – Sebanyak 60 individu termasuk warga asing ditahan sepanjang operasi pencerobohan tanah di Pahang bermula Ogos lepas hingga kini, kata Ketua Polis negeri Datuk Seri Yahaya Othman.

Beliau berkata 59 kertas siasatan telah dibuka menerusi operasi yang dijalankan bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Pejabat Hutan Daerah.

“Dalam tempoh berkenaan 105 kenderaan pelbagai jenis serta 622 unit peralatan turut dirampas dan disita pihak penguat kuasa.

“Kami akan menggiatkan operasi pencerobohan tanah dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang bukan sahaja di Raub tetapi di daerah lain. Kita juga menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak melakukan provokasi dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri  perjumpaan bersama wakil syarikat telco dan peniaga barang lusuh Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Azry Akmar Ayob.

Sementara itu, Yahaya memaklumkan kes kecurian kabel di negeri ini meningkat kepada 414 kes dengan 100 tangkapan pada 2024, berbading 211 kes melibatkan 31 tangkapan pada tahun sebelumnya.

Justeru, beliau berkata perjumpaan itu merupakan inisiatif bagi memberi penerangan kepada peniaga barang lusuh kerana kerjasama semua pihak diperlukan bagi menangani kegiatan tersebut.

“Ini bagi memastikan kedai barang lusuh atau besi buruk tidak membeli barangan yang dicuri kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya.

Mengulas kes seorang bayi lelaki berusia 13 bulan yang cedera akibat terjerut kain buaian, Yahaya berkata pihaknya telah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan dan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

Media sebelum ini melaporkan, ibu kepada bayi berkenaan mahu siastaan lanjut dilakukan pihak berkuasa susulan anaknya didakwa cedera akibat terjerut kain buaian di rumah pengasuh pada 15 April lepas.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here