KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif dan dasar yang diumumkan oleh kerajaan sempena sambutan Hari Pekerja 2025 yang bertemakan “Pekerja Kesuma Bangsa, Malaysia Madani”.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pihaknya menyambut baik pendekatan berasaskan 3K iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan yang disifatkan sebagai langkah holistik dan progresif dalam mengangkat martabat golongan pekerja di seluruh negara, termasuk penjawat awam.
“Pendekatan ini bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pekerja, malah menunjukkan kesungguhan dalam meningkatkan daya saing dan kemahiran tenaga kerja nasional,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, antara inisiatif yang dialu-alukan oleh CUEPACS termasuklah pelarasan gaji penjawat awam sehingga 15 peratus yang dilihat mampu membantu menangani isu kos sara hidup yang semakin meningkat.
Katanya lagi, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 yang dijangka memanfaatkan lebih 4.3 juta pekerja termasuk pekerja sokongan sektor awam turut disokong.
Ujarnya, perluasan perlindungan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada 24 jam serta penambahan manfaat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) seperti Elaun Bekerja Semula Awal, Elaun Latihan dan Elaun Mobiliti merupakan perkara yang baik.
Turut dialu-alukan kata beliau, komitmen kerajaan terhadap pembangunan kemahiran digital dan TVET melalui pelancaran aplikasi MYFutureJobs serta pelaburan latihan di bawah HRD Corp serta pengiktirafan kepada ahli kesatuan sekerja menerusi Kad Pekerja Madani yang menawarkan diskaun dan pelbagai keistimewaan kepada lebih sejuta ahli.
Beliau menambah, turut disokong iaitu penyelarasan undang-undang buruh di Sabah dan Sarawak yang menyelesaikan ketidakseimbangan perundangan selepas lebih dua dekad.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, segala langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membina ekosistem pekerjaan yang lebih inklusif, adil dan seimbang.
“Kami turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atas kerjasama erat dengan kesatuan sekerja dalam merangka dasar berkaitan tenaga kerja. Usaha ini diyakini mampu memperkukuh agenda Malaysia Madani ke arah kemajuan menyeluruh,” katanya lagi.
CUEPACS turut menyeru agar semua pihak kerajaan, majikan dan pekerja, terus memperkukuh kerjasama strategik demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan pekerjaan dalam persekitaran kerja yang lebih kondusif, kompetitif dan berdaya saing.
“Pekerja Inovatif, Pemacu Transformasi – inilah semangat Hari Pekerja yang ingin terus kami nyalakan demi kemajuan negara,” katanya. – MalaysiaGazette