KUALA LUMPUR – Dakwaan individu kononnya seorang agamawan bersolat Jumaat bersama makhluk halus (bunian) adalah tidak boleh dipercayai.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ini kerana jin atau bunian sifatnya suka berbohong dan merupakan makhluk halus yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
“Jin atau bunian adalah makhluk halus yang tidak nampak di mata kasar manusia. Bagaimana dapat dibuktikan solat Jumaat berlangsung bersama dengan jin?
“Sekiranya dakwaan berlaku menerusi suara manusia yang dirasuk oleh jin, kaedah hadis sahih Bukhari Muslim mengajar dakwaan itu tidak boleh dipercayai kerana jin sifatnya suka berbohong,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sehubungan itu, Khairuddin menyokong gesaan supaya pendakwah tersebut disiasat dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham.
“Sebarang dakwaan mengerjakan solat jumaat bersama makhluk halus perlu disiasat oleh pihak berkuasa agama untuk mengelakkan sebarang salah faham dalam kalangan orang awam dan pengikut.
“Apabila dakwaan sebegitu keluar daripada seorang agamawan yang mempunyai pengaruh, memiliki pusat pengajian Islam dan mengajar di masjid dan surau, ia lebih utama untuk disegerakan siasatan dengan memanggil pihak berkenaan,” ujarnya.
Baru-baru ini, tular di media sosial klip video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan pendakwah terkenal mendakwa solat Jumaat bersama bunian yang menimbulkan perdebatan dalam kalangan umat Islam.
Kemudian semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memaklumkan pihaknya sedang menyiasat perkara itu dan akan memanggil individu terbabit bagi mendapatkan penjelasan.
Hari ini pula, Badan Perhubungan UMNO Kedah menggesa Pejabat Mufti Negeri Kedah segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran dakwaan solat Jumaat bersama makhluk halus (bunian) itu.
Katanya, kenyataan pendakwah berkenan bukan sahaja tidak masuk akal, malah berpotensi besar membuka ruang kepada penyelewengan akidah dan mencemarkan kefahaman umat Islam mengenai ibadah yang paling asas. – MalaysiaGazette