KUALA LUMPUR – Lima kompaun dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap lima syarikat kontraktor kerana menjalankan kerja mengorek jalan yang tidak mematuhi prosedur kerja dan pelbagai kesalahan lain.
DBKL dalam kenyataan berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil (UUK) Pengangkutan Bahan 1997 atas pelbagai kesalahan.
Terdahulu, tindakan itu dilakukan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menerusi Ops Korekan Jalan di sekitar Parlimen Segambut, Bukit Bintang dan Kepong pada 25 April lalu.
“DBKL menjalankan pemeriksaan terhadap kontraktor yang menjalankan kerja mengorek jalan secara tidak mematuhi prosedur kerja yang betul dan pelbagai kesalahan lain.
“Sebanyak lima syarikat kontraktor yang sedang menjalankan kerja penambahbaikan di lima lokasi berbeza telah disemak kelulusan permit, prosedur kerja dan lain-lain lagi, bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam terjaga,” katanya.

Tambah DBKL, CIDB turut mengeluarkan satu notis tawaran kompaun atas kesalahan kegagalan pihak kontraktor untuk mendapatkan kelulusan CIDB bagi menjalankan kerja penambahbaikan.
“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti dan untuk sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di https://adukl.dbkl.gov.my/.” jelasnya. – MalaysiaGazette