JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki yang cuba melakukan samun terhadap seorang wanita berjalan kaki di Bandar Seri Alam, Masai di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisoner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya terkesan dengan rakaman video kejadian itu yang tular dalam media sosial semalam.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam melakukan siasatan dan mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 4.30 petang kelmarin.
“Dalam kejadian tersebut dua lelaki warga tempatan yang menaiki motosikal cuba melakukan samun beg tangan wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Sohaimi berkata, bertindak atas maklumat kedua-dua suspek berusia 23 dan 35 tahun ditahan di kawasan Seri Alam pukul 6.20 petang semalam.
Menurutnya, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Namun hasil ujian saringan awal air kencing katanya, mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha, satu telefon bimbit jenama OPPO, satu telefon bimbit jenama Infinix dan dua set pakaian,” katanya.
Kedua-dua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 KPJ selama enam hari mulai hari ini hingga Rabu.
Kes disiasat bawah Seksyen 393 Knaun Keseksaan atas cubaan merompak, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Kes juga disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu mengguna/memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh badan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kes berkenaan.
Tambah beliau, kerjasama orang ramai amat dihargai bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil.
Saksi kejadian atau sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Hamizan Fakhri menerusi 010-433 8032 atau terus hubungi hotline IPD Seri Alam di talian 07-386 14222.- MalaysiaGazette