KUALA LUMPUR – Tidak mudah bagi Harry Maguire untuk menelan segala kecaman dan kritikan yang dilemparkan kepadanya berpunca daripada tanda harga £80 juta ketika dia ditandatangani oleh Manchester United dari Leicester City.
Lebih mencabar lagi, pada waktu itu dia turut dipertanggungjawabkan sebagai kapten pasukan dan mengetuai barisan pertahanan United.
Namun selepas diangkat sebagai wira pasukan hasil jaringan kemenangan dalam perlawanan kedua suku akhir Liga Europa menentang Lyon, Maguire, 32, sekali lagi memainkan peranan penting dalam kemenangan bergaya United ke atas Athletic Bilbao dalam perlawanan separuh akhir pertama awal pagi tadi.
“Gabungan keteguhan bertahan dan aksi menyerang yang mengejutkan ramai termasuk pihak lawan menjadikan beliau watak utama dalam kejayaan di tempat lawan.
“Antara detik menarik perlawanan ialah ketika Maguire melakukan larian mengejut di bahagian sayap kanan, menggelecek pemain lawan sebelum menghantar bola kepada Manuel Ugarte yang kemudiannya melakukan hantaran kepada Casemiro yang menanduk masuk gol pembukaan,” tulis laporan analisis di Facebook Buletin Manchester United di sini.
Aksi luar biasa itu menyebabkan rakan sepasukan, Bruno Fernandes secara berseloroh membalas hantaran di Instagram rasmi Maguire dengan kapsyen “Harrydinho” selain pengendali, Ruben Amorim menyifatkan Maguire sebagai seorang pemain sayap yang bagus.
Sepanjang perlawanan, kepimpinan Maguire di bahagian pertahanan amat terserlah dalam usahanya menghalang serangan Bilbao dan memastikan gawang United tidak dibolosi.
Persembahan cemerlang beliau bukan sekadar mengukuhkan kedudukan pasukan, tetapi turut menjadi simbol kebangkitan seorang pemain yang pernah menjadi bahan kritikan dan kecaman.
Musim ini Maguire membuktikan bahawa persepsi boleh diubah bukan melalui kata-kata tetapi melalui aksi di atas padang. – Agensi