Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar.

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mahu mengheret Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed ke mahkamah kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar kesal kerana beliau dituduh ‘melarikan diri’ selepas UMNO tewas dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di Sabah.

“Saya akan mengarahkan kumpulan peguam saya untuk menghantar notis tuntutan (LOD) dan saman ke atas Jeffrey kerana tuduhan ini.

“Ia jelas satu perbuatan tidak boleh diterima, berniat jahat dan jelas cubaan menjatuhkan reputasi saya sebagai aktivis yang telah banyak membantu UMNO selama ini,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Jeffry menuduh Zulkarnain ‘lari lintang pukang’ selepas UMNO tewas dalam pilihan raya umum pada 2018.

UMNO Sabah lumpuh selepas lima ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diketuai bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Hajiji Noor bertindak keluar parti pada 12 Disember 2018.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort); Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat); Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran); Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Selain Hajiji yang juga ADUN Sulaman, lapan lagi ialah Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan); Datuk Isnin Alias (Klias); Datuk Ghulam Haidar Khan (Kawang); Matbali Musah (Lumadan); Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas); Datuk Ariffin Arif (Membakut); Datuk Musbah Jamli (Tempasuk) dan Datuk Japlin Akim (Usukan).

Zulkarnain juga berkata, kenyataan Jeffery itu merupakan satu tindakan kebudak-budakan dan fitnah jahat terhadap dirinya.

“Kalau beginilah cara berpolitik individu yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah, masa depan parti itu dilihat akan bertambah parah menjelang PRN17 akan datang,” katanya.

Menurut Zulkarnain, Jeffry sepatutnya bertanya sendiri kepada bekas Setiausaha Kerja UMNO Sabah, Datuk Kadzim Yahya mengenai gerak kerja beliau dan G57 lakukan sebelum membuat sebarang tuduhan tidak berasas.

“Ketika itu Parti Warisan Sabah mengambilalih Sabah melalui langkah kudeta pada 2018 termasuk membantu calon UMNO-BN menang PRK Kimanis pada 2020.

“Saya tidak perlu mendedahkan gerak kerja yang dilakukan kerana strategi sama digunakan untuk menumbangkan Warisan dan kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika ini,” katanya.

Zulkarnain turut memberitahu, semasa Warisan mengambilalih Kerajaan Negeri Sabah, beliau terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur selepas menerima ancaman bunuh.

“Laporan polis juga telah dibuat sebelum ini sebaliknya Jeffrey boleh tidur dengan nyenyak di rumah ketika itu. Saya telah ditekan melalui laporan polis yang sengaja diada-adakan sebaliknya rancangan mereka telah gagal sepenuhnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here