Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Tuduhan bahawa UMNO kini “mempersuci DAP” merupakan satu naratif bukan sahaja tidak berasas, bahkan sangat ironi datang daripada seseorang yang pernah menjadi sahabat karib kepada DAP suatu ketika dahulu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, Pas bukan sahaja menyokong calon-calon DAP di kawasan majoriti Melayu, bahkan ‘menghalalkan’ penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

“Sejarah tidak mudah dipadam, malah masih segar dalam ingatan rakyat bagaimana Pas ketika berada dalam Pakatan Rakyat

“Tindakan Pas itu semata-mata untuk menjaga hati sekutunya ketika itu.

“Malah, ada ketikanya Pas mengeluarkan arahan kepada ahli-ahli mereka mengundi DAP, atas nama tahaluf siyasi,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa gabungan antara Umno dan DAP ‘mensucikan’ DAP yang didakwanya anti-Islam susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, minggu lalu.

Menerusi artikel Minda Presiden Pas, Hadi mendakwa kemenangan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai kejayaan UMNO menubuhkan UmDAP, gelaran yang diberikan kepada kedua-dua parti terbabit.

Razlan juga berkata, tindakan Abdul Hadi yang penuh dengan emosi dan sindiran terhadap UMNO tidak hanya menyerang lawan politik, tetapi memperdagangkan fitnah dan sentimen demi menutup kegagalan partinya sendiri.

“Sebaliknya, Umno tidak pernah berselindung dalam menyuarakan pendirian tegas terhadap mana-mana tindakan menyinggung sensitiviti umat Islam.

“Dalam isu stoking tertera kalimah Allah, UMNO segera tampil pantas menuntut tindakan dan penjelasan.

“Begitu juga isu cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia UNESCO, UMNO tidak teragak-agak menzahirkan bantahan demi menjaga hak dan sensitiviti orang Melayu,” katanya.

Menurut Razali, tuduhan Pas itu hanya gerakan politik yang penuh sandiwara dan kelihatan parti Islam itu semakin hilang modal.

“UMNO tahu membezakan antara kerjasama politik demi kestabilan negara ataupun memilih tunduk membuta tuli kepada rakan politik. UMNO tetap berpegang pada prinsip,” katanya.

Razlan juga mengingatkan Abdul Hadi cuba memutarbelit sejarah pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menuduh UMNO menggadai prinsip, sedangkan ketika itu negara buntu tanpa majoriti jelas.

“Yang di-Pertuan Agong menitahkan penubuhan Kerajaan Perpaduan demi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“UMNO menghormati titah tersebut serta akur kepada kebijaksanaan institusi Raja dan mendahulukan kesejahteraan negara.

“Sebaliknya, Perikatan Nasional, termasuk Pas memilih untuk menolak nasihat Tuanku dan tetap berkeras mahu membentuk kerajaan sendiri.

“Di sinilah rakyat dapat menilai parti manakah yang mendaulatkan institusi Raja, dan siapa yang sanggup membelakangkan titah demi merebut kuasa,” katanya.

Katanya lagi, sejak bersama Kerajaan Perpaduan, UMNO tidak mensiakan mandat diberikan, malahan memanfaatkannya untuk membela nasib bangsa dan agama secara konkrit, bukan sekadar retorik di pentas ceramah dan mencari populariti murahan.

“Pelbagai dasar telah diperkenalkan termasuk dasar TVET yang membuka peluang kedua kepada anak muda Melayu, Dasar Tahfiz Negara 2.0 untuk melahirkan generasi profesional huffaz, serta pembiayaan RM800 juta kepada usahawan Bumiputera melalui MARA dan PUNB.

“Malah, Belanjawan 2025 memperuntukkan RM2 bilion untuk hal ehwal Islam, termasuk RM150 juta khusus kepada Sekolah Agama Rakyat dan institusi tahfiz.

“Ini semua hasil daripada kehadiran UMNO dalam Kerajaan satu hakikat yang walaun tak dapat nafikan,” katanya.

Sementara itu, Razlan membidas dakwaan Abdul Hadi kononnya majoriti Melayu telah menolak UMNO dalam PRK Ayer Kuning, minggu lalu, sedangkan jumlah meningkat dari 323 kepada 384 undi.

“Malah tiga PDM yang sebelum ini dimenangi Pas kini berjaya dirampas kembali oleh UMNO. Apa maknanya ini, jika bukan tanda jelas bahawa sokongan orang Melayu terhadap Pas semakin merosot?

“Ini sekali gus membuktikan bahawa naratif ‘UMNO-DAP’ yang dicanang oleh Hadi dan konco-konconya hanyalah retorik kosong yang gagal meresap ke dalam minda dan sanubari rakyat Ayer Kuning,” katanya.

Sebaliknya kata Razlan, sebagai orang lama dalam politik, Abdul Hadi seharusnya menunjukkan akhlak dan teladan lebih baik dan perlu membezakan antara serangan peribadi dan politik kebencian.

“Sudah tiba masanya Pas sekali lagi bermuhasabah mengapa pengundi Melayu kian menjauh, dan mengapa retorik Islam yang dibawa semakin tidak dipercayai.

“UMNO tidak pernah mendakwa dirinya maksum. Tetapi kami terus berusaha dengan segala kemampuan untuk menzahirkan perjuangan Islam dan Melayu dalam bentuk dasar dan tindakan yang nyata.

“Kami percaya, rakyat khususnya orang Melayu dapat menilai yang mana kaca dan permata dan teringat saya kata-kata dalam dewan bahasa awak yang celaka, orang yang diumpat pula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here