Dzulkefly (tiga dari kiri) bersama Alexander melawat blok tambahan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Hospital Seberang Jaya (HSJ) akan menjadi pusat rujukan zon utara bagi perkhidmatan Kardiologi dan Kardiotorasik Pediatrik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada Hospital Pulau Pinang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia susulan projek pembinaan Blok Bertingkat baharu di HSJ yang menelan kos RM486.2 juta yang akan beroperasi secara berperingkat mulai 5 Mei ini.

Jelas beliau, blok tambahan setinggi sembilan tingkat itu menempatkan 316 katil, enam dewan bedah dan tujuh jenis wad pelbagai disiplin termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan High Dependency Unit (HDU), menjadikan jumlah keseluruhan katil di HSJ kini mencecah 729.

Dzulkefly.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkukuh infrastruktur kesihatan awam demi kesejahteraan rakyat.

“Ia juga dapat memudahkan akses rawatan pakar kepada penduduk Seberang Perai serta kawasan sekitarnya sekal igus memperkukuh statusnya sebagai hospital rujukan utama di zon utara.

“Dengan siapnya pembinaan ini, ia mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan pembangunan fasiliti kesihatan secara mampan dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rasmi Projek Blok Bertingkat HSJ daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Majlis Penyerahan Rasmi Projek Blok Bertingkat HSJ daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di Hospital Seberang Jaya hari ini.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad.

Tambah beliau, fasiliti baharu ini turut membolehkan pengoperasian perkhidmatan sub-kepakaran seperti Otorinolaringologi (ENT), Kardiologi Pediatrik dan Perubatan Rehabilitasi.

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, setiap projek pembangunan awam perlu disiapkan mengikut jadual, kos dan piawaian kualiti yang ditetapkan, selaras dengan prinsip tadbir urus berintegriti dan akauntabiliti.

“Ini adalah asas penting dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat disampaikan kepada rakyat, sejajar dengan nilai-nilai Malaysia MADANI seperti ihsan, kesejahteraan dan keterangkuman.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta semua agensi pusat dan negeri atas kerjasama erat dalam merealisasikan projek yang telah diluluskan sejak 2012 di bawah Rancangan Malaysia Ke-10,” katanya.

Projek pembinaan bangunan tambahan HSJ yang bermula pada tahun 2016 dengan peruntukan RM368 juta itu pada awalnya dijadualkan siap pada tahun 2020.

Bangunan bertingkat baharu antara lain merangkumi enam dewan bedah, 316 katil, tempat meletak kenderaan serta kemudahan lain.

Projek ini dikatakan mengalami kelewatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerana COVID-19. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here