Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyeru kerajaan, media dan masyarakat tidak mudah terpedaya dengan muslihat industri vape yang menyamar sebagai pejuang ekonomi tempatan.

Penyelaras Kawalan Tembakau/Merokok Fomca, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata hakikatnya, industri tersebut jelas membawa ancaman kesihatan dan keselamatan kepada negara.

Katanya, industri vape di negara ini menggunakan strategi halus, mengeksploitasi sentimen nasional demi melindungi perniagaan yang memudaratkan kesihatan.

Beliau mendakwa, lebih 90 peratus pengeluaran dan pasaran produk vape di negara ini dikuasai oleh syarikat yang bersekongkol dengan industri tembakau global yang telah sekian lama terbukti mengutamakan keuntungan ke atas kesihatan rakyat.

“Vape bukan sekadar perniagaan tapi ia ancaman nasional. Industri vape di Malaysia bukanlah satu industri bebas, tetapi dikawal secara besar-besaran oleh industri tembakau antarabangsa,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Muhammad Sha’ani berkata, Fomca memandang serius taktik licik industri berkenaan yang bersembunyi di sebalik naratif kononnya memperjuangkan perusahaan tempatan untuk menolak atau menggagalkan pelaksanaan dasar kesihatan awam negara.

Tambah beliau, ruang penyalahgunaan dadah melalui industri vape juga semakin meluas.

“Fomca menyokong penuh pendedahan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, yang menyatakan bahawa sindiket pengedaran dadah telah mula memasukkan bahan-bahan ketagihan ke dalam cecair vape sebagai kaedah untuk membentuk pelanggan tegar.

“Ini bukan sahaja menjadikan vape sebagai produk berbahaya kepada kesihatan fizikal, malah pintu masuk (gateway) kepada penyalahgunaan dadah musuh nombor satu negara,” tambah beliau.

Fomca antara lain mencadangkan supaya kerajaan mengharamkan penjualan vape yang menjadi pintu masuk utama kepada pengguna muda.

Tambah Muhammad Sha’ani, tindakan segera perlu dikenakan terhadap pengeluar dan penjual vape yang menyasarkan remaja dan pelajar.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here