Lee Chean Chung.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya mengumumkan pakej rangsangan ekonomi khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada sidang khas Parlimen pada 5 Me ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung merangkap Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Ekonomi dan Kewangan Parlimen berkata, pakej tersebut perlu ekoran tindakan Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif ke atas pelbagai produk import yang mengakibatkan ketidaktentuan ekonomi secara global.

Jelas beliau, Malaysia sebagai negara yang sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa turut merasai impaknya.

“Tambahan pula, prestasi suku pertama ekonomi AS yang menunjukkan pertumbuhan negatif telah meningkatkan kebimbangan pelabur dan melemahkan sentimen pasaran global.

“Pengumuman Presiden Donald Trump untuk menangguhkan pelaksanaan cukai selama 90 hari tidak memberi kelegaan sebenar kepada pasaran. Ketidaktentuan dasar ini hanya menangguhkan tekanan bukan menyelesaikannya,” katanya menerusi kenyataan.

Sebagai rekod, pada tahun lalu, nilai eksport Malaysia ke AS mencecah RM196.6 bilion menjadikannya pasaran eksport kedua terbesar negara.

Dalam masa yang sama, nilai import dari AS pula berjumlah RM126.3 bilion.

Banyak sektor yang berorientasikan eksport seperti perabot, barangan getah dan peralatan optik kini berdepan kos yang semakin meningkat akibat tarif 10 peratus yang telah dikenakan.

Menurut Lee, banyak syarikat telah menangguh pelaburan dan pengambilan pekerja baharu akibat ketidaktentuan ini. Jika kerajaan tidak bertindak segera, negara boleh berdepan gelombang pengangguran baharu.

Dalam masa yang sama, beliau turut mencadangkan supaya mempertimbangkan beberapa langkah dalam pakej yang bakal diumumkan termasuk Dana Penampan Tarif PKS (SME Tariff Relief Fund) untuk pembiayaan berfaedah rendah dan subsidi kepada syarikat yang terjejas untuk menampung kos bahan mentah, proses transformasi atau pelan pelarasan pasaran,” katanya.

Selain itu, perlu ada Geran Penyesuaian Pasaran Eksport yang memberi geran serta sokongan teknikal melalui Lembaga Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi membantu syarikat menembusi pasaran alternatif seperti ASEAN, Timur Tengah dan EU.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mempertimbangkan penangguhan pembayaran cukai pendapatan dan SST untuk tempoh enam bulan demi membantu aliran tunai syarikat kekal stabil,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan penguatkuasaan yang adil dan tegas terhadap syarikat asing yang beroperasi di negara ini.

“Kita tidak boleh membiarkan ada pihak yang mengambil kesempatan daripada kekosongan dasar atau kelemahan penguatkuasaan untuk mengelak cukai.

“Ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan negara malah mencemari persaingan sihat dalam pasaran,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here