Keadaan Toyota Vios yang remuk teruk selepas terbabit dalam kemalangan hingga mengorbankan tiga nyawa dalam kejadian di di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara berhampiran susur Balakong, di sini, pagi ini. Gambar: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Kereta yang hilang kawalan ketika susur ke kiri sebelum terbabas dipercayai menjadi punca nahas mengorbankan tiga lelaki di Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban menghala tol Sungai Besi, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL), Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu sekitar jam 6.56 pagi.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan pemandu berusia 32 tahun bersama dua penumpangnya masing-masing 29 dan 30 tahun maut di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati, kenderaan dipandu jenis Toyota Vios berwarna merah itu bergerak dari Pusat Bandaraya melalui Lebuhraya KL-Seremban telah hilang kawalan ketika mengambil susur kiri.

“Kemudian, kenderaan itu terbabas melanggar batu konkrit pembahagi tengah jalan dan kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan sebelum di bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk siasatan lanjut,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota bomba melakukan operasi mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit. Foto PGOKL

Tambah Mohd Zamzuri, siasatan kejadian itu masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi yang melihat kemalangan tampil memberi keterangan.

Terdahulu, media melaporkan tiga lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan di susur keluar Lebuhraya KL-Seremban, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 5.57 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dan Bukit Jalil dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiga mangsa lelaki ditemui tersepit dan anggota mengambil masa satu jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa,” jelasya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here