Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN – Kertas siasatan kes mengaitkan pekebun haram membabitkan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang telah lengkap sepenuhnya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya kini hanya menantikan arahan lanjut selepas kertas siasatan itu telah dihantar ke Bahagian Perundangan Bukit Aman pada minggu lepas.

Susulan itu pihaknya hanya menunggu arahan sebelum dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung kes dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub pada 10 April lalu.

“Kertas siasatan berhubung kes Ahli Parlimen Raub dan Pengerusi SAMKA kepada Bahagian Perundangan Bukit Aman dan kini menunggu arahan lanjut,” katanya.

Yahaya berkata demikian ketika ditemui media pada Program Perjumpaan Polis Pahang bersama peniaga barang lusuh Pahang di Dewan Teknologi Maklumat, Kompleks Alor Akar hari ini.

Terdahulu Yu Hui dan Wilson dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub pada 15 April lalu.

Untuk rekod, sebanyak 59 kes siasatan dibuka oleh pihak berkaitan kes pencerobohan tanah haram di negeri itu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 60 tangkapan dilakukan manakala 105 kenderaan dan 622 unit peralatan kebun telah disita.

Pada perkembangan sama, Yahaya mengingatkan supaya semua pihak tidak melakukan pencerobohan tanah kerana pihak berkuasa akan terus melakukan operasi dan pemantauan.

Ini kerana masih ada pihak yang degil dan berani mencuba melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang Kanun Tanah Negara.

”Saya ingin mengingatkan kepada penceroboh tanah kerajaan supaya tidak menceroboh hak kerajaan. Seperti menjunjung perintah tuanku (Sultan Pahang) semua bertanggungjawab menjaga tanah di negeri Pahang ini daripada dicerobohi.

”Dua hari lepas kita ada menangkap lima orang di hutan simpan kekal dan masih ditahan sehingga 4 Mei ini untuk siasatan lanjut.

”Mereka akan disiasat dibawah Akta Perhutanan 1950 jadi saya minta jangan masuk kawasan jika tidak kita akan mengambil tindakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here