KUALA LUMPUR – Perlindungan kesihatan awam kekal sebagai keutamaan negara berbanding keuntungan yang diraih oleh industri rokok elektronik termasuk vape, tegas Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC).
Presiden MCTC, Dr Murallitharan Munisamy menjelaskan, pelbagai kajian menunjukkan bahawa beban ekonomi akibat kesan kesihatan yang ditimbulkan oleh produk rokok dan vape jauh melebihi pendapatan cukai yang diperoleh daripada industri tersebut.
“Kos rawatan penyakit berkaitan merokok di Malaysia dianggarkan mencecah RM8 bilion setahun, hampir empat kali ganda berbanding kutipan cukai rokok tahunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Murallitharan berkata demikian sebagai respons terhadap laporan media mengenai pengharaman penjualan vape dan kesan terhadap peniaga industri itu.
Tambah beliau, penggunaan produk merokok, termasuk vape memberi impak kesihatan menyeluruh bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga kepada orang sekeliling melalui pendedahan sekunder kepada asap dan aerosol yang menyumbang kepada peningkatan penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung dan paru-paru.
Beliau menambah, merokok menyumbang kepada kehilangan produktiviti negara sehingga 40 peratus berpunca daripada kematian awal, ketidakhadiran kerja serta pengurangan keupayaan bekerja.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kesan terhadap alam sekitar akibat produk tembakau dan vape seperti puntung rokok, peranti vape pakai buang dan pembungkus produk tembakau bukan sahaja mencemarkan kawasan awam, malah mengancam hidupan liar dan sumber air.
Vape pakai buang pula jelas beliau, mengandungi bahan kimia toksik dan bateri litium yang sukar dilupuskan secara selamat.
“Setiap tahun, kira-kira 27,000 kematian direkodkan akibat merokok di Malaysia. Ini bukan hanya angka statistik semata-mata, tetapi melibatkan kesan besar kepada keluarga, komuniti dan ekonomi negara,” ujarnya.
MCTC turut menggesa media agar memainkan peranan yang bertanggungjawab dalam melaporkan isu berkaitan kesihatan awam dan tidak hanya memberi fokus kepada kerugian industri tanpa mengambil kira fakta-fakta kesihatan yang kritikal.
“Sejak tahun 1960-an, industri ini berulang kali menipu masyarakat tentang bahaya sebenar produk mereka, termasuk memberi kenyataan palsu dalam pendengaran Kongres di Amerika Syarikat,” katanya.
Jelas beliau, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) juga mengiktiraf konflik kepentingan yang jelas antara industri tembakau dan dasar kesihatan awam.
Mengulas lanjut, Dr Murallitharan menegaskan bahawa industri vape yang merupakan cabang daripada industri tembakau, tidak wajar dilihat sebagai pemegang taruh yang sah dalam pembentukan dasar kesihatan.
“Kerugian ekonomi yang didakwa tidak sepatutnya mengatasi hak rakyat untuk hidup dalam persekitaran yang sihat dan bebas bahan berbahaya. Dasar awam mesti terus berlandaskan prinsip perlindungan kesihatan rakyat, kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial jangka panjang,” tegas beliau. – MalaysiaGazette