JOHOR BAHRU – Kota Jail di bandar raya ini berpotensi menjadi ikon pelancongan baharu negeri ini terutama bagi Tahun Melawat Johor 2026.
Kota Jail yang dahulunya merupakan Penjara Ayer Molek dan sudah dibuka pada 14 Mac lalu itu bakal menjadi tarikan utama kerana keunikannya.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa teruja dengan bangunan lama tersebut yang kini sudah berubah wajah.
“Saya amat teruja menyaksikan sendiri transformasi luar biasa Kota Jail, bangunan bersejarah berusia 142 tahun yang dahulunya Penjara Ayer Molek kini dibuka semula kepada orang ramai dengan wajah dan semangat baharu.
“Ia adalah manifestasi bagaimana warisan, kreativiti dan keusahawanan anak Johor disatukan bagi mencipta peluang baharu dalam ekonomi pelancongan, sejarah dan kebudayaan,” katanya selepas melawat Kota Jail hari ini.
Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar dan Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim.
Onn Hafiz berkata, lawatan itu bukan sekadar meninjau kerja pemuliharaan fizikal tetapi satu penghargaan terhadap usaha anak muda Johor yang menjadi nadi kebangkitan destinasi itu
Katanya, dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Kota Jail kini menempatkan Galeri Penjara Ayer Molek, ruang acara kreatif, kafe tempatan serta jualan kraf dan produk lokal menjadikannya tumpuan pelancong dan komuniti kreatif.
“Terletak strategik dalam kawasan IIBD (Ibrahim International Business District) dan hanya 500 meter dari pusat bandar, Kota Jail berpotensi menjadi ikon pelancongan Johor bagi Tahun Melawat Johor 2026.
“Saya yakin Kota Jail akan menjadi antara tarikan utama yang mengangkat martabat Johor di mata dunia,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan negeri komited untuk terus mendukung segala usaha semua pemain industri pelancongan dalam menjadikan inisiatif ini pemangkin pertumbuhan ekonomi yang progresif, inklusif dan mampan.
“Semoga pembangunan semula Kota Jail menjadi titik tolak kepada lonjakan sektor pelancongan Johor yang lebih progresif, kreatif dan berdaya saing menjelang Tahun Melawat Johor 2026 sekaligus mengangkat warisan sejarah menjadi produk pelancongan bernilai tinggi,” ujarnya.- MalaysiaGazette