Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media ketika hadir pada majlis Malam Gala Jubli Perak MPOB di Hotel Marriot Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 2 MEI 2025.

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang membuat persiapan rapi berhubung rundingan tarif rasmi dengan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, langkah itu difikirkan wajar bagi melindungi sektor komoditi seperti kelapa sawit yang menjadi antara industri penyumbang utama kepada pendapatan negara.

Walaupun AS bukan pembeli utama minyak sawit negara namun hasil eksport ke negara itu bernilai strategik kepada Malaysia, katanya.

“Kita telah salurkan semua fakta dan maklumat berkaitan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk digunakan dalam rundingan akan datang.

“Sebagai contoh, bagi kelapa sawit, walaupun AS bukan pembeli utama, kita masih mengeksport hampir RM4.9 bilion setahun ke sana,” katanya selepas hadir Malam Gala Jubli Perak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) malam ini.

Sebelum ini,  MITI melantik Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Mastura Ahmad Mustafa, salah seorang penjawat awam kanannya yang paling berpengalaman sebagai ketua perunding Malaysia untuk rundingan tarif rasmi akan datang dengan Amerika Syarikat.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata AS juga telah menamakan salah seorang penolong wakil perdagangan AS (USTR) untuk mengetuai rundingan itu dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan perbincangan selepas Kabinet Malaysia memberi lampu hijau.

Jelas Johari lagi, ekport sawit Malaysia menjurus kepada tiga negara antaranya kesatuan Eropah (EU), India dan China yang merangkumi 40 peratus nilai eksport komoditi tersebut.

Bagaimanapun, AS mempunyai nilai eksport komoditi lain seperti sarung tangan getah – lebih RM8 bilion setahun, produk kayu hampir RM6.5 bilion, dan koko hampir RM1.6 bilion.

“Kita ada komoditi lain macam getah, kita banyak ekport ke AS dengan jumlah hampir mencecah RM8 bilion dan kita juga ada industri perabot hampir RM6.5 bilion.

“Kita juga ada koko eksport ke AS dengan nilai RM1.6 bilion,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai tarif AS, Johari berkata, Malaysia mempunyai kelebihan daripada negara pengeluar minyak sawit dunia iaitu Indonesia kerana dikenakan 10 peratus ditambah 32 peratus.

“Daripada segi ini, kita ada sedikit kelebihan berbanding Indonesia. Tapi kelebihan ini bukan bermakna kita boleh leka. Kita juga perlu terus kukuhkan hubungan perdagangan dengan negara-negara lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here