KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G. Manivanan yang menang dalam pemilihan semula jawatan Ketua Cabang PKR Jempol semalam menyifatkan kemenangannya sebagai simbol perjuangan tulen masih hidup dalam PKR.
Ujarnya, persaingan kali ini bukan sesuatu yang mudah apabila tiga calon telah bergabung sebagai satu pasukan dan disokong oleh pelbagai pihak untuk menjatuhkannya.
Namun, katanya, beliau dan pasukannya tidak pernah goyah dan menyusun strategi dengan teliti, bertindak dengan yakin dan mengharungi cabaran dengan semangat juang yang tinggi.
“Akhirnya, doa dan sokongan ikhlas dari sahabat-sahabat perjuangan di Jempol dan seluruh Malaysia telah menjadi kekuatan utama yang membawa kemenangan ini.
“Kemenangan ini bukan milik seorang individu. Ia adalah kemenangan kolektif – satu kemenangan bergaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pengundian semula semalam, Manivanan meraih 571 undi menewaskan dua lagi pesaingnya iaitu Muhammad Asri Abdullah yang mendapat 229 undi dan K. Mariappan dengan 39 undi.
Pemilihan semula bagi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol itu diadakan selepas keputusan terdahulu yang menyaksikan kemenangan Azizah Salim Shah dibatalkan.
Ia berikutan pendedahan bahawa Azizah masih merupakan ahli parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) semasa bertanding, sekali gus melanggar syarat keanggotaan dalam PKR.
Sementara itu, Manivanan turut menyifatkan amanah yang dipegang susulan kemenangannya bukan satu keistimewaan, tetapi tanggungjawab besar yang akan digalas bersama demi memimpin akar umbi dan seluruh rakyat Jempol.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada kepada pasukannya yang mengekalkan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi sepanjang tempoh berkempen.
Jelasnya, walaupun berdepan tekanan dan provokasi, pasukannya tetap teguh dengan prinsip iaitu tidak memilih jalan mudah dengan menggunakan strategi keji, serangan peribadi, taktik kotor, penaburan fitnah atau provokasi melampau.
“Kami memilih untuk berkempen dengan bermaruah, berlandaskan fakta, dan menjunjung nilai keadilan.
“Inilah semangat #JempolBangkit yang sebenar – berjuang dengan maruah, menang dengan hormat,” katanya. – MalaysiaGazette