Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

BATU KAWAN – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut ketika menyauk kerang berhampiran Kilometer 4.2, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam ditemui meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Ismail Ahmad, 28, dijumpai pukul 9.40 pagi berhampiran kawasan sangkar ikan di Sungai Udang iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, penemuan itu hasil pencarian operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung semula pagi tadi.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung oleh pasukan SAR menerusi kaedah pencarian permukaan air sebelum dibawa ke Jeti Batu Musang dekat sini.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 11.05 pagi dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Operasi SAR melibatkan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bagan Jermal dan Butterworth serta bantuan pelbagai agensi lain termasuk  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Mengulas lanjut, Sagun Francis berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 10 pagi semalam apabila bot dinaiki mangsa dipercayai merempuh tiang jambatan bernombor 274 sebelum dia terjatuh ke dalam laut.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang menyauk kerang bersama bapanya dan seorang lagi rakan yang berada dalam bot berlainan. Kedua-duanya bagaimanapun dilaporkan selamat,” jelasnya.

Sagun Francis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengenakan jaket keselamatan atau alat pelampung badan setiap kali melakukan aktiviti di perairan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here