DALAM semangat Malaysia Madani, pekerja merupakan tonggak utama kepada kemakmuran negara. Mereka bukan sekadar jentera ekonomi, tetapi juga pemacu perubahan sosial dan penjaga nilai-nilai murni yang membentuk masa depan negara. Dalam konteks ini, adalah wajar untuk menilai semula kedudukan pekerja di Malaysia, cabaran semasa yang mereka hadapi, serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjamin kesejahteraan jangka panjang.
Gaji minimum dan produktiviti
Pengenalan gaji minimum di Malaysia sejak 2013 bertujuan memastikan pekerja mendapat pendapatan yang mencukupi bagi menampung kos sara hidup. Namun, isu yang terus dibangkitkan ialah sama ada kadar gaji minimum semasa RM1,500 sebulan sudah mencukupi dalam konteks inflasi dan rasionalisasi subsidi yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2023, kadar inflasi Malaysia pada 2023 direkodkan pada purata 2.5%, manakala gaji purata bulanan pekerja kekal meningkat secara perlahan iaitu sekitar 3.8% setahun, tetapi masih ketinggalan di belakang pertumbuhan produktiviti buruh, yang mencatat peningkatan sebanyak 4.0% dalam sektor pembuatan dan 3.5% dalam sektor perkhidmatan.
Ini menunjukkan bahawa pertumbuhan gaji tidak seiring dengan produktiviti. Dalam banyak sektor, pekerja menghasilkan lebih banyak tetapi ganjaran kewangan yang diterima tidak mencerminkan sumbangan mereka. Ini menuntut pembaharuan struktur dalam sistem penggajian, termasuk keperluan untuk gaji berdasarkan prestasi dan nilai tambah.
Indeks Kebahagiaan Pekerja Malaysia
Kajian oleh JobStreet pada tahun 2017 dan agensi sumber manusia menunjukkan bahawa Indeks Kebahagiaan Pekerja Malaysia masih berada pada tahap sederhana.
Antara faktor yang mempengaruhi ialah beban kerja yang tinggi, ketidakseimbangan antara kerja dan kehidupan, serta kekurangan peluang peningkatan kerjaya. Kajian ini adalah sebelum pandemik Covid-19 yang lepas dan amat wajar jika kajian baharu dilakukan agar indeks semasa dapat diketahui.
BNM turut menekankan dalam Laporan Kestabilan Kewangan 2023 bahawa isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana semakin tertekan dengan peningkatan kos barangan keperluan asas, khususnya makanan dan pengangkutan, terutamanya susulan pengurangan subsidi secara berperingkat. Sebagai contoh, inflasi makanan masih kekal tinggi sekitar 5.7%, menjadikan kesan kepada kos sara hidup semakin
ketara.
Langkah rasionalisasi subsidi, seperti penghapusan subsidi petrol RON95 dan subsidi elektrik yang lebih bersasar, meskipun perlu dalam kerangka pengurusan fiskal negara, boleh memberi tekanan langsung kepada pekerja jika tidak disertakan dengan mekanisme perlindungan yang sewajarnya.
Tanpa penyesuaian gaji atau perluasan perlindungan sosial seperti subsidi bersasar dan bantuan tunai, kesejahteraan pekerja akan terus terhakis.
Perbandingan gaji di ASEAN dan negara maju
Dari sudut perbandingan serantau, Malaysia masih ketinggalan dari segi kadar purata gaji berbanding negara jiran. Menurut Bank Negara dan World Bank, purata gaji bulanan pekerja Malaysia sekitar RM3,224 (2023), jauh di belakang Singapura (sekitar RM6,800) dan Brunei.
Malah, beberapa sektor di Thailand dan Vietnam mula menawarkan pakej gaji lebih kompetitif, terutamanya dalam industri teknologi dan pembuatan.
Jika dibandingkan dengan negara maju seperti Korea Selatan dan Jerman, jurang lebih ketara. Ini memperlihatkan betapa pentingnya pembaharuan dalam dasar pendidikan, inovasi dan latihan semula tenaga kerja agar Malaysia tidak terus ketinggalan dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan.
Cabaran sektor pendidikan tinggi
Sebagai warga pendidikan tinggi negara, penulis cenderung melihat cabaran masa depan warga kerja sektor ini yang menjadi pemangkin modal insan negara dan perlu diberi perhatian khusus.
Pensyarah dan kakitangan akademik di universiti awam khususnya berdepan tawaran gaji yang kurang kompetitif berbanding kumpulan profesional yang sama di luar sektor akademik.
Beban kerja yang meningkat untuk memastikan keberhasilan petunjuk utama universiti seperti penarafan antarabangsa, peluang kenaikan pangkat yang belum ampuh juga menjadi faktor penyumbang kepada tekanan pekerjaan.
Pemerkasaan skim perkhidmatan akademik, penyediaan dana penyelidikan yang lebih besar, serta ganjaran berasaskan prestasi adalah antara langkah penting yang diharapkan dalam proses penambahbaikan berterusan seiring pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.
Selain itu, kerajaan dan institusi pengajian tinggi perlu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih fleksibel, menyokong keseimbangan kehidupan dan kerjaya serta memberi ruang kepada pembangunan profesional berterusan. Pelaburan dalam kebajikan pekerja akademik adalah pelaburan kepada masa depan negara.
Hakikatnya, pekerja adalah “kesuma” atau permata negara dalam kerangka Malaysia Madani. Menyantuni mereka bukan sekadar isu ekonomi, tetapi juga soal keadilan sosial, kesejahteraan masyarakat, dan kelangsungan pembangunan negara.
Gabungan dasar gaji yang adil, perlindungan sosial yang berkesan, persekitaran kerja yang kondusif dan pengiktirafan berasaskan prestasi adalah kunci kepada pembentukan ekosistem pekerjaan yang progresif dan inklusif serta mampu membangunkan pekerja sebagai sumber daya insan negara.
Oleh: Zukiferee Ibrahim
Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu