Muhammad Nur Hazreq didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengedar dadah

BATU PAHAT – Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat lebih 20 kilogram, bulan lalu.

Muhammad Nur Hazreq Khairuddin, 36, yang tidak bekerja mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 20.712 kilogram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jeti Minyak Beku, Batu Pahat sekitar pukul 7 malam, pada 21 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya berjaya menumpaskan lima sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah dengan nilai keseluruhan mencecah RM9 juta menerusi tujuh serbuan berasingan di negeri ini.

Menurutnya, dalam serbuan kedua, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan di jeti Batu Pahat sebelum pemeriksaan terhadap sebuah pikap menemukan 20 bungkusan dadah disyaki syabu seberat lebih 20 kilogram bernilai kira-kira RM662,000.

Tambah beliau, sindiket itu yang dipercayai aktif sejak Februari lalu menggunakan modus operandi dengan menjadikan kenderaan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum dihantar ke negara jiran menggunakan jalan laut.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here