Gambar hiasan. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai membidas tindakan kerajaan yang didakwa sekali lagi mengabaikan suara rakyat apabila memutuskan untuk menamatkan subsidi telur bermula 1 Ogos ini tanpa sebarang rundingan bersama pihak industri.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu berkata, keputusan yang dibuat secara sebelah pihak itu bakal memberi kesan besar kepada pengguna dan penternak serta mencetuskan ketidakstabilan harga telur di pasaran.

“Saya bimbang ini akan mencetuskan reaksi berantai dalam pasaran. Sebarang perubahan dasar oleh kerajaan sepatutnya dilakukan selepas berbincang dengan pihak industri bagi merangka pelan pelaksanaan secara berperingkat yang dipersetujui bersama dari pengurangan subsidi secara bertahap hingga pemansuhan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, pengeluaran telur berkemungkinan akan berkurangan jika harga makanan ternakan terus meningkat dan margin keuntungan penternak terus mengecil, sekali gus menjejaskan bekalan di pasaran.

Beliau turut menekankan bahawa, telur merupakan sumber protein paling murah dan penting dalam diet harian rakyat Malaysia, justeru, penamatan subsidi secara mengejut akan memberi kesan langsung kepada golongan berpendapatan rendah.

“Jika kerajaan beranggapan subsidi telur tidak sepatutnya dinikmati oleh warga asing, maka peraturan yang lebih ketat perlu digubal, termasuk larangan penjualan kepada warga asing. Bukan dengan menamatkan subsidi secara keseluruhan,” ujarnya.

Dominic Lau Hoe Chai

Dominic turut mempersoalkan ke mana perginya penjimatan hasil daripada rasionalisasi subsidi diesel yang telah dilaksanakan hampir setahun lalu, sambil menyifatkan kerajaan gagal mengawal harga barang dan meringankan beban rakyat.

“Sebuah kerajaan yang kononnya menekankan prinsip ‘rakyat didahulukan’ tetapi, gagal mengurus bekalan makanan asas harian rakyat dengan baik adalah satu bentuk kegagalan yang serius,” tambahnya.

Pada masa sama, Dominic mengingatkan bahawa sebarang gangguan bekalan telur akibat ketidakseimbangan dalam pasaran boleh memburukkan lagi keadaan ekonomi rakyat yang semakin menekan.

“Kerajaan perlu sedar bahawa keputusan mengurangkan subsidi tanpa berunding dengan pihak industri adalah satu langkah yang silap.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta risiko kenaikan harga makanan ternakan akibat dasar tarif, ia pasti akan menjejaskan harga akhir barangan keperluan seperti telur,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here