Dalam kenyataan hari ini, firma penyelidikan pasaran global itu menjelaskan berdasarkan tinjauannya, keadaan permintaan dalam sektor pembuatan Malaysia kekal lemah pada April, dengan pengeluaran dan aliran masuk pesanan baharu terus sederhana.
“Bukti lanjut menunjukkan keadaan itu berkemungkinan kekal tidak berubah dalam jangka masa pendek dan sederhana. Kalangan syarikat memilih untuk menyiapkan pesanan sedia ada sekiranya tiada pertumbuhan pesanan baharu di samping mengurangkan guna tenaga, pembelian dan pegangan stok,” tambahnya.
S&P Global juga memaklumkan oleh kerana permintaan pelanggan kekal hambar, pihak pengeluar telah mengurangkan pengeluaran untuk bulan ke-11 berturut-turut.
Kadar penguncupan menjadi lebih cepat berbanding pada Mac, menandakan penurunan paling ketara dalam tempoh tiga bulan.
Stok barang siap dikurangkan lagi apabila syarikat menggunakan inventori sedia ada untuk memenuhi pesanan, tambah S&P Global.
Bagaimanapun, pengeluar Malaysia melaporkan hanya pengurangan kecil dalam paras pekerjaan, dengan syarikat melaporkan kapasiti yang mencukupi.
Pada masa yang sama, paras kerja tertunggak susut sekali lagi pada April, kepada penurunan lebih besar berbanding bulan sebelumnya, katanya.
S&P Global menjelaskan tekanan inflasi terus berkurangan pada bulan itu, dengan beban kos purata hanya meningkat sedikit, menyumbang kepada pengurangan harga jualan yang kecil.
“Bagaimanapun, ini tidak mencukupi untuk meningkatkan keyakinan mengenai prospek, kerana tahap keyakinan keseluruhan merosot ke paras terendah sejak Julai 2023, dengan syarikat menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan kesan buruk akibat ekonomi global yang tidak banyak berubah serta tarif Amerika Syarikat,” tambahnya.
PMI pembuatan Malaysia S&P Global disusun oleh S&P Global Market Intelligence berdasarkan jawapan kepada soalan kaji selidik yang dihantar kepada pengurus pembelian, melibatkan sekitar 400 pengeluar.
— BERNAMA