KUALA LUMPUR – PKR menangguhkan tarikh pemilihan parti itu bagi peringkat pusat yang dijadualkan esok, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, perkara itu dibuat bagi menangguhkan pencalonan itu yang akan diadakan selama dua hari itu.
Tarikh baharu bagi pencalonan peringkat pusat akan berlangsung pada 8 Mei 2025 bermula pada pukul 12 tengah malam sehingga 9 Mei 2025 pada pukul 11.59 malam.
“Proses ini akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian,” katanya.
Dr Zaliha bagaimanapun tidak memperincikan keputusan JPP untuk menangguhkan tarikh pemilihan tersebut.
Media sebelum ini kecoh melaporkan tindakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dikatakan sedang bercuti dan ada kaitan dengan pemilihan parti.
Desas desus itu timbul selepas pemilihan cabang PKR baru-baru ini menyaksikan beberapa sekutu rapat Rafizi tersingkir dan ia memberi isyarat laluan getir buat dirinya untuk mempertahankan jawatan nombor dua.
Awal hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang mempersoalkan ‘kehilangan’ Menteri Ekonomi itu yang kini bercuti.
Meskipun begitu, Anwar bertindak mengunci mulut dan dan enggan menjawab pertanyaan media tentang alasan mengapa Rafizi bercuti.
“Ada ke punya soalan tak boleh cuti. Kenapa (Rafizi) tak boleh cuti?” soal Anwar kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Saujana Putra hari ini. – MalaysiaGazette