NIBONG TEBAL – Polis telah mengenal pasti identiti pemandu sebuah kenderaan yang dirakam menunjukkan isyarat lucah ketika memandu di Kilometer 159 Lebuh Raya Utara Selatan di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, tindakan pemandu itu dirakam dalam satu video berdurasi 21 saat yang tular menerusi platform TikTok pada 28 April lalu, sekali gus mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kenderaan terlibat merupakan sebuah Proton Persona yang didaftarkan atas nama seorang lelaki tempatan yang beralamat di Selangor.
“Suspek yang dipercayai individu dalam video berkenaan telah berjaya dikenal pasti.
“Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas perbuatan berkelakuan tidak sopan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan rangkaian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa memelihara adab ketika berada di jalan raya serta mengelakkan daripada menyebarkan sebarang kandungan bersifat lucah atau provokatif melalui media sosial kerana ia boleh membawa implikasi undang-undang.
Terdahulu tular di media sosial satu video memaparkan tindakan seorang pemandu kereta yang menunjukkan isyarat lucah jari tengah ketika memandu di lebuhraya sehingga menerima kritikan daripada warganet. – MalaysiaGazette