KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan seorang wanita ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu culik, selepas laporan itu diterima sekitar pukul 3.02 petang pada 9 April lalu.
“Kita telah merakam percakapan beberapa orang saksi termasuk peguam wanita itu dan juga pegawai SPRM bagi membantu siasatan yang masih diteruskan.
“Sebelum ini, mangsa beberapa kali hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan berkaitan kes yang sedang disiasat pihak SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan seorang wanita berusia 42 tahun yang dalam perjalanan berjumpa pegawai SPRM untuk memberi kenyataan berkaitan siasatan didakwa telah diculik.
Ahli keluarga mangsa melaporkan, kenderaan e-hailing yang dinaiki mangsa telah ditahan tiga kenderaan yang tidak dikenal pasti sebelum mengarahkan wanita itu menaiki salah sebuah kereta terbabit.
Dakwa ahli keluarga mangsa, sehingga kini, ibu kepada tiga anak itu masih tidak dapat dijejaki atau dihubungi setelah 20 hari dilaporkan hilang. – MalaysiaGazette