Seramai 102 wanita terdiri dari warganegara Thailand, Vietnam, Indonesia, Laos dan Myanmar berumur di antara 21 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan. - Foto Imigresen Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang di sini yang menawarkan langganan wanita warga asing sebagai penghibur digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kelmarin.

Serbuan bermula pukul 11.30 malam itu dilakukan berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama seminggu.

JIM dalam kenyataan berkata, seramai 119 individu terdiri daripada tiga lelaki dan 102 wanita warganegara asing serta 14 warganegara tempatan telah diperiksa dalam operasi berkenaan.

Hasil pemeriksaan, 102 wanita terdiri dari warganegara Thailand, Vietnam, Indonesia, Laos dan Myanmar berumur di antara 21 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Kita turut menahan dua warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai pemilik premis atau ‘penjaga’ kepada wanita warga asing tersebut,” katanya.

Seramai 70 pegawai pelbagai pangkat diatur gerak ke pusat hiburan itu untuk serbuan yang turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha. Foto JIM Putrajaya

Tambah JIM, antara kesalahan dikenal pasti termasuk penyalahgunaan pas lawatan dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk tujuan siasatan.

“Semakan mendapati pusat hiburan itu menawarkan langganan wanita asing berumur 20 hingga 30 tahun sebagai peneman berhibur dengan bayaran sekitar RM100 hingga RM200 sejam.

“Ia bergantung kepada tempoh yang diinginkan pelanggan bermula pukul 4 petang hingga 2 pagi dan mereka juga dipercayai boleh mengaut keuntungan melalui kegiatan itu antara RM7,000 hingga RM25,000 sebulan,” ujarnya.

Susulan itu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 manakala pemilik premis dikenakan tindakan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, seramai 70 pegawai pelbagai pangkat diatur gerak ke pusat hiburan itu untuk serbuan yang turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here