P.Ramasamy

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai) menyifatkan UMNO sebagai tidak jujur dengan menganggap parti terbesar orang Melayu itu ‘lepas tangan’ terhadap kemelut yang dihadapi rakan sekutunya iaitu MCA dan MIC.

Malah menurut Pengerusi Penaja Urimai, P Ramasamy, UMNO secara jelas telah menghakis pengaruh sekutunya dalam kalangan kaum lain.

“Apabila Umno mengejar agenda etnoagama yang sempit, ia mewujudkan iklim politik di mana MCA dan MIC bergelut untuk mengekalkan kredibiliti dalam komuniti masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon susulan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi yang menasihati MCA supaya kekal sebagai rakan Barisan Nasional (BN).

Kata Puad, MCA tidak boleh menyalahkan BN atas keraguan dan rasa kecewa ahli-ahli parti itu berhubung kedudukan mereka dalam gabungan politik tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata pemimpin MCA perlu bertanya diri sendiri mengapa sokongan kaum Cina terhadap parti itu merosot termasuk hanya menang dua kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jelas beliau, prestasi buruk MCA itu tiada kaitan dengan BN yang bertanding solo pada PRU-15 dan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan hanya berlaku selepas pilihan raya umum tersebut.

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon pada Isnin lalu menggesa partinya untuk menentukan hala tuju sendiri jika BN terus berlengah dalam membuat keputusan jelas tentang hala tujunya.

Chong berkata MCA telah memberikan BN lebih dua tahun untuk membuat penyusunan semula selepas PRU15, namun ketidaktentuan berterusan dalam BN telah menyebabkan ahli-ahli MCA berasa kecewa dan ragu-ragu.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata mungkin sudah tiba masanya untuk MCA dan MIC mengakui BN kini sudah tidak boleh mewakili kedua-dua parti berkenaan.

“Sikap tunduk dalam secara politik dan budaya sejak sekian lama terhadap Umno telah menyebabkan parti-parti ini kehilangan inisiatif dan maruah.

“Jalan ke hadapan mesti melibatkan muhasabah yang serius dan keberanian untuk keluar daripada gabungan yang tidak lagi menjaga kepentingan mereka.

“Hanya dengan itu MCA dan MIC boleh berharap untuk kembali relevan dan berhubung semula dengan akar umbi mereka,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here