Alexander.

SEBERANG PERAI –  Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR), khususnya Cawangan Kerja Kesihatan, dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan sebanyak 170 projek pembangunan fasiliti kesihatan di seluruh negara dengan jumlah peruntukan mencecah RM16.47 bilion.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 62 projek kini berada dalam fasa pra-pembinaan dengan anggaran kos RM4.05 bilion manakala 64 lagi sedang aktif dalam fasa pembinaan yang menelan belanja RM7.88 bilion.

“Selain itu, sebanyak 44 projek telah berjaya disiapkan dengan jumlah kos sebanyak RM4.54 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Blok Tambahan Hospital Seberang Jaya di sini, hari ini.

Majlis Penyerahan Rasmi Projek Blok Bertingkat HSJ daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di Hospital Seberang Jaya.

Hadir samax Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, mengulas projek bagi negeri Pulau Pinang, Alexander memaklumkan, sebanyak 12 projek kesihatan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.317 bilion.

Kata beliau, daripada jumlah itu, lima projek berada dalam peringkat perancangan bernilai RM139.1 juta, lima lagi sedang dalam fasa pembinaan dengan kos RM781.38 juta, manakala dua projek telah siap dengan kos RM396.53 juta.

“Salah satu daripada projek penting di bawah pelaksanaan ini ialah Projek Pembinaan Blok Tambahan Bertingkat HSJ ini.

“Pembinaan hospital baharu ini dilaksanakan mengikut Pekeliling Perbendaharaan melalui kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS), dengan skor penilaian IBS melebihi 70 peratus, dan dilaksanakan secara reka dan bina oleh syarikat SBAR Bina Sdn. Bhd. sejak tahun 2016 dengan kos asal RM371 juta.

“Projek ini turut merangkumi pembinaan kemudahan sokongan seperti sistem saliran, sistem pembetungan, loji rawatan kumbahan, bekalan air luaran, ruang sisa klinikal dan rumah pam, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, kemampanan dan nilai ihsan dalam sistem kesihatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here