KUALA LUMPUR – Penyertaan Sabah pada edisi pertama Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2025 di sini baru-baru ini menunjukkan peningkatan ketara jualan dengan jumlah tertinggi dicatatkan sebanyak RM 4.5 juta.
Ia merupakan peningkatan sebanyak 46 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffery Jimit berkata, sebanyak 43 ejen pelancongan dari negeri itu telah menyertai pameran yang diketuai agensi itu sebagai peneraju utama mempromosikan destinasi itu di zon negeri itu.
Beliau berkata, sambutan yang menggalakkan mengukuhkan status Sabah sebagai pilihan destinasi pelancongan domestik dengan pelbagai tawaran pakej pelancongan menarik untuk aktiviti pengembaraan, budaya dan alam semula jadi termasuk produk pelancongan berasaskan komuniti.
“STB turut memperkenalkan dua jenama tempatan dari Sabah iaitu Chanteek Borneo yang mempamerkan pelbagai rekaan pakaian dan tekstil dengan motif tradisional Sabah manakala Uinah memperkenalkan manfaat kesihatan minuman yang menyegarkan diperbuat daripada hasil tani tempatan yang dituai secara mampan.
“Kedua-dua jenama ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung di Pameran Matta Fair di mana kejayaan ini hasil dedikasi dan penyertaan aktif agensi-agensi pelancongan Sabah.
“Usaha ini juga membuktikan kerjasama erat pemain pelancongan dalam mempromosikan industri pelancongan negeri bersama-sama STB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Julinus berkata, STB terus komited dalam usahanya untuk meningkatkan promosi destinasi pelancongan Sabah dalam pasaran domestik dan antarabangsa, termasuklah dengan penyertaan aktif dalam acara pelancongan utama seperti Pameran Matta Fair.
Menurut beliau, usaha itu seiring dengan perancangan STB melalui kempen ‘Terokai Sabah’ menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Terokai Sabah Dulu Bah menjadi tema reruai STB di Pameran di samping menawarkan baucar rebat perjalanan sehingga RM100 untuk setiap pembelian pakej pelancongan dengan deposit minimum RM600 dalam satu resit.
“Bagi menggalakkan pembeli memilih produk pelancongan berasaskan komuniti, tawaran baucar rebat perjalanan sebanyak RM50.00 untuk setiap orang turut diberikan. Selain itu, untuk memastikan reruai kekal menjadi tarikan, STB memberikan pengalaman realiti maya (VR) disamping menganjurkan aktiviti harian,” katanya.
Julinus turut melancarkan Peta Augmented Reality (AR Map) untuk peta Sabah dan peta Bandaraya Kota Kinabalu di mana pengguna boleh mengimbas kod pada peta untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tempat-tempat tarikan utama. – MalaysiaGazette