KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Kilometer 430 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Gemuruh, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada kejadian 8.45 pagi itu, Mohamad Faizal Adam Azhar, 31, yang bekerja sendiri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua rakannya Muhammad Zarul Asyraf Mukhtar, 26, dan Muhammad Arif Che Mahisan, 29, parah di kepala.
Kesemua mangsa menunggang motosikal Yamaha RXZ dari Kelantan menuju Kuantan, Pahang untuk menyertai acara RXZ Fighter.
“Siasatan mendapati motosikal ditunggang Muhammad Arif dilanggar dari arah belakang oleh Mohamad Faizal Adam ketika sedang bergerak di lorong kecemasan, menyebabkan Muhammad Arif melanggar Muhammad Zarul Asyraf di hadapannya.
“Semua motosikal terjatuh dan terseret di jalan sebelum motosikal Mohamad Faizal Adam tercampak ke dalam longkang konkrit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azli berkata mayat Mohamad Faizal Adam dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, dan dua lagi mangsa juga dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA