KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Kedah menggesa Pejabat Mufti Negeri Kedah segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran dakwaan solat Jumaat bersama makhluk halus (bunian) yang dikaitkan dengan seorang individu bergelar tokoh agama.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan seperti itu bukan sahaja tidak masuk akal, malah berpotensi besar membuka ruang kepada penyelewengan akidah dan mencemarkan kefahaman umat Islam mengenai ibadah yang paling asas.
Sehubungan itu, menurutnya, siasatan dan penjelasan rasmi berhubung dakwaan itu perlu dibuat secara berani, telus dan tanpa rasa takut terhadap sebarang tekanan politik atau sentimen luar.

Jelasnya, Pejabat Mufti Kedah tidak harus gentar terhadap sebarang tekanan politik atau persepsi awam dalam menjalankan amanah mereka sebagai pihak berautoriti dalam hal ehwal agama Islam di negeri ini.
“Institusi agama seperti Pejabat Mufti tidak boleh dibiarkan dibayangi oleh ketakutan terhadap reperkusi politik.
“Jika sesuatu yang salah tidak ditegur hanya kerana individu itu ada pengaruh atau pengikut, maka kita sedang merosakkan agama dari dalam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Terdahulu, tular di media sosial klip video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan pendakwah terkenal yang mendakwa solat Jumaat bersama bunian yang menimbulkan perdebatan dalam kalangan umat Islam.
Semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memaklumkan pihaknya sedang menyiasat perkara itu dan akan memanggil individu terbabit bagi mendapatkan penjelasan.
Sementara itu, Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah memberi jaminan sedia berdiri teguh mempertahankan institusi Pejabat Mufti Kedah daripada sebarang tekanan politik yang cuba mengganggu tugas mereka dalam menjaga kesucian agama Islam dan mendidik masyarakat dengan ilmu yang sahih.
Tegasnya, kenyataan yang meragukan seperti dakwaan tular itu jika dibiarkan tanpa tindakan, hanya akan membuka ruang kepada penyelewengan akidah dan kekeliruan berpanjangan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
“Agama Islam tidak boleh dipermainkan atas nama karamah atau cerita sensasi. Jangan kompromi dengan kebatilan,” katanya. – MalaysiaGazette